Los Angeles: Pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente menyifatkan pertemuan separuh akhir Piala Dunia menentang Perancis sebagai “final sebelum final” sambil menegaskan skuadnya mampu menewaskan mana-mana pasukan, termasuk gergasi Eropah itu.
Sepanyol mara ke kelompok empat terbaik selepas menewaskan Belgium 2-1 pada suku akhir hasil jaringan lewat Mikel Merino pada minit ke-88 di Los Angeles.
Kini, juara Eropah itu bakal berdepan Perancis yang diperkuatkan penyerang berbisa, Kylian Mbappé, bagi merebut tiket ke final.
“Ia bukan keterlaluan untuk menganggap perlawanan ini sebagai final sebelum final.
“Kami adalah antara pasukan yang berupaya melangkah ke final. Mulai sekarang, tumpuan kami sepenuhnya terarah kepada Perancis.
“Kami sedar betapa besarnya kekuatan mereka, tetapi kami juga tahu kami adalah satu-satunya pasukan yang pernah menewaskan mereka dalam dua aksi separuh akhir,” kata De la Fuente.
Sepanyol menewaskan Perancis pada separuh akhir Euro 2024 sebelum muncul juara Eropah, selain turut mengatasi lawan sama pada separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA 2025.
Menurut De la Fuente, pertemuan kali ini dijangka lebih terbuka dengan kedua-dua pasukan memiliki corak permainan yang berbeza.
“Perlawanan ini akan menjadi lebih terbuka berbanding sebelum ini.
“Kami perlu meningkatkan lagi tahap permainan dan akan memberikan segala-galanya.
“Perancis berada pada prestasi terbaik, manakala kami mempunyai gaya permainan yang berbeza.
“Kami amat menghormati lawan, tetapi kami yakin mampu menewaskan mana-mana pasukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




