firdaushashim@hmetro.com.my
Shah Alam: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyeru agar semua pihak terutama peminat tempatan menyerahkan segala-galanya kepada pihak berkuasa.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, insiden serangan demi serangan ke atas pemain bola sepak kebangsaan hingga mendatangkan kecederaan sudah berada dalam siasatan polis.
“Saya rasa pihak berkuasa sedang buat sesuatu. Macam perbincangan dengan Menteri Dalam Negeri, pihak polis sedang menyiasat dengan menyeluruh perkara tersebut.
“Kita bagi ruang kepada pihak berkuasa untuk melihat perkara ini,” katanya ketika ditemui di lobi hospital swasta di sini selepas melawat Faisal Halim, hari ini.
Terdahulu, pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid diserang oleh dua individu tidak dikenali di Kuala Terengganu yang memukulnya di bahagian kepala dan kaki pada Khamis lalu.
Ahad lalu pula, Faisal atau dikenali dengan panggilan Mickey dilaporkan diserang oleh dua individu di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.
Dua individu itu menyimbah asid berbahaya ke arah muka pemain sayap itu, namun pemain Selangor FC itu sempat mengelak sebelum terkena di bahagian lain leher, dada dan tangannya.
Serangan ketiga pula berlaku malam tadi apabila cermin kereta pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim dipecahkan dengan tukul besi.
Ditanya sama ada beliau bimbang dengan situasi itu, Hamidin berharap pemain selepas ini lebih berhati-hati dalam setiap pergerakan.
“Apa saja perkara tidak baik yang menjejaskan bola sepak sudah tentu FAM tidak suka.
“Jadi macam saya katakan, ini perlu mendapat sokongan semua pihak untuk ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




