Serangan kejam di El-Fasher, 460 nyawa melayang di hospital

Serangan kejam di El-Fasher, 460 nyawa melayang di hospital

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam memaklumkan pihaknya terkejut dengan laporan bahawa lebih 460 pesakit dan penjaga mereka ditembak mati di hospital terakhir yang separa berfungsi di El-Fasher, Sudan.

Penawanan El-Fasher pada Ahad lalu selepas kepungan selama 18 bulan mengukuhkan kawalan kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) ke atas Darfur, mencetuskan kebimbangan keganasan bermotifkan etnik.

“WHO amat terkejut dan berdukacita dengan laporan pembunuhan tragis lebih 460 pesakit dan penjaga di Hospital Bersalin Saudi di El-Fasher,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu kenyataan.

“Semua serangan terhadap penjagaan kesihatan mesti dihentikan serta-merta dan tanpa syarat,” katanya sambil menggesa gencatan senjata dan perlindungan ke atas semua pesakit serta petugas kesihatan.

WHO turut memaklumkan bahawa Hospital Bersalin Saudi adalah satu-satunya hospital yang masih beroperasi sebahagian di bandar El-Fasher.

Ia diserang pada Ahad lalu “untuk kali keempat dalam sebulan”, menyebabkan seorang jururawat terbunuh dan tiga lagi petugas kesihatan cedera, kata pertubuhan itu.

Pada Selasa, enam petugas kesihatan iaitu empat doktor, seorang jururawat dan seorang ahli farmasi diculik dan lebih 460 pesakit serta penjaga dilaporkan ditembak mati di hospital itu pada hari yang sama.

“Tragedi terbaharu ini berlaku dalam krisis yang semakin meruncing di El-Fasher, Darfur Utara, di mana keganasan, keadaan pengepungan serta peningkatan kebuluran dan penyakit membunuh orang awam termasuk kanak-kanak,” kata WHO.

Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) berkata, ia “amat bimbang dan amat terkejut” dengan peningkatan laporan mengenai “kekejaman ngeri dan penderitaan besar” yang dialami penduduk El-Fasher.

Tedros berkata, WHO mengesahkan 185 serangan terhadap penjagaan kesihatan di Sudan sejak April 2023 yang mengakibatkan 1,204 kematian dan 416 kecederaan.

Daripada jumlah itu, 49 serangan berlaku tahun ini sahaja yang membunuh 966 orang.

El-Fasher terputus daripada bantuan kemanusiaan sejak Februari lalu menyebabkan kekurangan zat makanan meningkat dan penyakit taun merebak dengan pantas dengan 272 kes disyaki serta 32 kematian dilaporkan tahun ini sahaja.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top