nurhanim.osman@bh.com.my
Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia yang menetap, melakukan perjalanan atau berhasrat keluar masuk ke wilayah sempadan Selatan Thailand dinasihatkan dengan tegas supaya meningkatkan kewaspadaan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Wisma Putra menegaskan, ia susulan beberapa insiden keselamatan yang dilaporkan berlaku di Yala, Pattani dan Narathiwat, malam tadi.
Menurut kenyataan itu, rakyat Malaysia di kawasan berkenaan perlu sentiasa peka dan mematuhi sepenuhnya semua nasihat keselamatan, perintah berkurung serta arahan keselamatan yang dikuatkuasakan pihak berkuasa tempatan.
“Kementerian sedang memantau rapat situasi susulan beberapa insiden keselamatan yang dilaporkan pada malam semalam.
“Pasukan keselamatan tempatan juga sudah mempertingkat kawalan dan langkah keselamatan di seluruh kawasan terjejas, termasuk melaksanakan perintah berkurung sementara.
“Setakat ini, tiada laporan mengenai mana-mana warganegara Malaysia yang terjejas akibat insiden-insiden berkenaan,” menurut Wisma Putra.
Terdahulu media melaporkan, seluruh wilayah Narathiwat dikenakan perintah berkurung susulan siri insiden keganasan, termasuk serangan pembakaran dan letupan.
Portal berita tempatan, Bangkok Post melaporkan pasukan keselamatan Narathiwat menerusi hantaran di Facebook mengumumkan pelaksanaan perintah berkurung itu bermula jam 10.15 malam tadi hingga 6 pagi Ahad.
Pihak berkuasa mengarahkan penduduk tempatan supaya berada di rumah dan perlu mendapatkan kebenaran rasmi daripada tentera, polis atau pentadbiran tempatan sekiranya mempunyai urusan mendesak untuk keluar.
Wisma Putra berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla juga sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau perkembangan serta memastikan keselamatan dan kebajikan warganegara Malaysia di kawasan terbabit.
“Bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan konsular yang pantas, rakyat Malaysia digesa untuk mendaftar dan sentiasa mengemas kini maklumat perhubungan mereka menerusi portal e-Konsular di pautan https://ekonsular.kln.gov.my.
“Kementerian Luar Negeri akan terus memantau situasi ini dan akan menyalurkan maklumat terkini sekiranya diperlukan,” katanya.
Wisma Putra memaklumkan, rakyat Malaysia juga boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menerusi talian kecemasan +(6674) 316 274 atau +(6681) 990 1930, manakala pertanyaan umum boleh dibuat menerusi +(6674) 324 004 atau +(6674) 312 353.
Sebarang pertanyaan kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla juga boleh dikemukakan menerusi e-mel mwsongkhla@kln.gov.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd
