Seri Andalas, Kayu Ara, Bandar Bukit Tinggi, Johan Setia dikenal pasti lokasi projek TOD sekitar LRT3

Seri Andalas, Kayu Ara, Bandar Bukit Tinggi, Johan Setia dikenal pasti lokasi projek TOD sekitar LRT3

am@hmetro.com.my

Klang: Beberapa kawasan sekitar Stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam sudah dikenal pasti untuk pelaksanaan projek Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata, antara kawasan berpotensi untuk melaksanakan projek berkenaan meliputi Stesen Seri Andalas, Kayu Ara, Bandar Bukit Tinggi dan Johan Setia.

Jelasnya, bahawa kawasan terbabit memiliki kriteria ditetapkan antaranya memiliki kawasan luas untuk dibangunkan projek perumahan rakyat dan pusat komersial.

“Kalau dulu ‘park and ride’ sahaja, tanah itu tidak dioptimumkan dan katakan kalau untuk 600 kenderaan kebiasaannya mereka yang menggunakan LRT ini dia akan letak kenderaan dari pagi sampai malam.

“Jadi walaupun ada 600 petak ia hanya akan memanfaatkan 600 itu sahaja kerana dia guna sepanjang hari jadi kita kena lihat dan dasar kerajaan adalah untuk kita optimumkan penggunaan tanah dan konsep TOD ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Peluncuran LRT3 Laluan Shah Alam, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut projek berkenaan, Loke menegaskan bahawa sebarang pembangunan di kawasan berkenaan akan membabitkan kerjasama syarikat swasta.

Melalui kerjasama itu, beliau berkata, ia diharapkan dapat membantu merealisasikan hasrat kerajaan demi memastikan masyarakat terutama dapat menikmat limpahan pembangunan apabila kemudahan itu siap kelak.

Sementara itu, Loke berkata, Prasarana juga bercadang untuk menambah lima lagi stesen LRT bagi laluan Shah Alam iaitu Stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik dengan pembinaan dijangka bermula hujung tahun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top