UMNO, BN akan bangkit bermula dari Johor – Ahmad Zahid

UMNO, BN akan bangkit bermula dari Johor – Ahmad Zahid

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: UMNO perlu memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai titik permulaan kebangkitan parti itu selepas melalui tempoh suram sejurus Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lapan tahun lalu.

Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid, berkata kemenangan UMNO dan BN juga penting untuk terus memastikan Johor terus kekal sebagai simpanan tetap (fixed deposit) parti itu.

“Apa yang penting, kita perlu menangkan calon kita terlebih dahulu, dengan izin Allah, tanpa berasa bangga atau sombong, kita mengingatkan UMNO dan BN akan bangkit secara nyata bermula dari bumi Johor yang bertuah ini.

“Tetapi bila ada PRN di Johor dan selepas ini Negeri Sembilan, jangan tekan-tekan kita… jangan sekat bila nak masuk FELDA.

“Kita berjumpalah dalam gelanggang secara gentleman… ini tidak apalah sekat Facebook, Tiktok UMNO? Kita lawanlah sampai menang,” katanya ketika berucap pada Program Pelancaran Jentera BN Dun Parit Yaani dan Parit Raja, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung BN, Datuk Dr Zambry Abd Kadir, calon BN DUN Parit Yaani, Datuk Najib Samuri dan calon BN DUN Parit Raja, Rashidah Ramli.

Ahmad Zahid berkata, realiti politik di Johor adalah kestabilan, strategi jelas serta fokus yang nyata menyebabkan pelabur asing dan dalam negara memandang Johor sebagai negeri penting.

Pada masa sama, beliau tidak menafikan sumbangan bekas menteri besar sebelum ini yang banyak menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Kita tak nafikan mereka ada sumbangan masing-masing. Tetapi sejak BN memerintah semula dengan Johor dan pentadbirannya di bawah Datuk Onn Hafiz (Ghazi), saya lihat ia luar biasa.

“Ini satu realiti dan Johor tidak ada isu yang dibangkitkan. Tak banyak isu…tak susah sebenarnya (nak menang).

“Pada 11 Mei lalu kita meraikan UMNO ke 80 tahun… kita (UMNO ditubuhkan istana besar Johor Bahru.

“Ini bermakna UMNO bukan parti jalan… bukan parti anak-beranak.

“UMNO adalah parti seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Ditanya mengenai kempen BN pada hari kedua PRN, Ahmad Zahid berkata, semuanya berjalan dengan baik dan setakat ini tidak ada serangan peribadi serta membangkitkan isu sensitif.

“Kalau masing-masing meneruskan pendekatan seperti ini, insya-Allah tidak ada sebarang masalah untuk pengundi.

“Selain kita bekerja secara berpolitik, kita mohonlah daripada Allah SWT supaya mencapai kejayaan luar biasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top