Sevilla bangkit ketinggalan dua gol ikat United

Sevilla bangkit ketinggalan dua gol ikat United

GERGASI Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United mempersiakan dua gol awal ketika diikat sensasi La Liga, Sevilla 2-2 dalam perlawanan suku akhir pertama Liga Europa di Stadium Old Trafford pada Jumaat.

Skuad kendalian Erik ten Hag terlebih dulu di depan hasil sepakan Marcel Sabitzer pada minit ke-14 apabila menterjemahkan hantaran tepat Bruno Fernandes sebelum merembat melepasi penjaga gol Sevilla, Bono.

Sabitzer, yang dipinjamkan daripada gergasi Bundesliga Jerman, Bayern Munich, menjaringkan gol Eropah keduanya untuk United pada minit ke-21 selepas menerima hantaran Anthony Martial bagi mengawal perlawanan separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, Sevilla yang mencatat rekod juara Liga Europa enam kali, bangkit di penghujung perlawanan apabila membalas satu gol pada minit ke-84 selepas rembatan Jesus Navas terbias kaki Tyrell Malacia sebelum memperdayakan penjaga gol sensasi United, David de Gea.

The Red Devils terpaksa beraksi 10 pemain apabila pemain pertahanan Lisandro Martinez diusung keluar minit ke-86 selepas mengalami kecederaan.

Kekurangan itu dimanfaatkan sepenuhnya jentera serangan angkatan Jose Luis Mendilibar apabila menyamakan kedudukan menerusi tandukan Youssef En-Nesyri pada masa kecederaan.

Tandukan En-Nesyri terbias Harry Maguire sebelum menerjah ke dalam gawang minit ke-92 sekali gus memberikan Los Nervionenses kelebihan besar menjelang perlawanan kedua Stadium Ramon Sanchez Pizjuan minggu depan.

“Saya percaya kami menguasai dan mengawal permainan di Old Trafford. Dan kami sepatutnya menjaringkan tiga atau empat selepas separuh masa pertama

“Namun ternyata amat malang dalam separuh masa kedua diikuti kecederaan kami melepaskan dua gol sendiri.

“Ya, kami perlu menanganinya sudah tentu, kami perlu belajar bahawa kami perlu membunuh permainan lebih awal,” ujar ten Hag dalam usaha United membida trofi kedua musim ini selepas kejuaraan Piala Liga.

Sementara itu, Sabitzer’s berkata, sukar untuk mengulas kemerosotan mendadak sensasi Inggeris tersebut pada separuh masa pertama.

“Ya, ibarat sebuah roller-coaster.. Kami terpaksa menamatkan perlawanan, ia seri, bukan yang kami mahu apabila perlu pergi ke Seville selepas ini.

“Kami mempunyai peluang, kami yakin dalam permainan dan saya fikir kami mengawal permainan, namun malangnya kami memberikan gol mudah kepada lawan,” katanya..