Shabery bimbang PM terima maklumat kurang tepat mengenai aset Felda di London

Shabery bimbang PM terima maklumat kurang tepat mengenai aset Felda di London

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bimbang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima maklumat kurang tepat berhubung cadangan penjualan aset milik agensi itu di London.

Menurutnya, sepanjang tempoh beliau menerajui Felda sehingga akhir Jun lalu, tiada permohonan dikemukakan untuk menjual mana-mana hotel milik agensi berkenaan di London.

“Tidak ada satu pun permohonan menjual hotel Felda di London dibuat semasa saya berada di Felda. Tidak tahulah kalau selepas saya meninggalkan Felda pada akhir Jun lalu.

“Lagipun Felda mempunyai empat aset hartanah di sana iaitu dua hotel dan dua penempatan pelajar,” katanya pada Ahad.

Shabery berkata, berdasarkan pengetahuannya, tiada satu pun daripada empat hartanah berkenaan dibeli secara tunggal pada harga £160 juta.

“Tidak ada satu pun yang dibeli secara tunggal dengan harga £160 juta sterling,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu menimbulkan kebimbangan sekiranya maklumat yang diterima Perdana Menteri berhubung aset berkenaan tidak menggambarkan kedudukan sebenar portfolio hartanah Felda di London.

“Saya bimbang PM disalah nasihat atau ada yang cuba mengambil kesempatan,” katanya.

Mengulas proses penjualan aset Felda pula, Shabery berkata, keputusan berhubung perkara itu turut melibatkan arahan kerajaan, termasuk Kementerian Kewangan dan Jawatankuasa Penasihat kepada Jabatan Perdana Menteri.

“Menjual aset adalah arahan dari atas, Kementerian Kewangan dan Jawatankuasa Penasihat kepada Jabatan Perdana Menteri. Ini adalah langkah standard kerajaan,” katanya.

Pada Sabtu, Anwar yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata, beliau enggan menandatangani dokumen kelulusan penjualan sebuah hotel milik Felda selepas mendapati aset berkenaan dicadangkan untuk dijual pada harga £100 juta, berbanding harga pembelian £160 juta.

Anwar turut mengarahkan pengurusan Felda menyediakan laporan lengkap berhubung cadangan penjualan aset berkenaan supaya perkara itu dapat diteliti dengan sewajarnya.

Sementara itu, Shabery berkata, kedudukan empat aset Felda di London perlu diperincikan bagi mengelakkan kekeliruan antara nilai hartanah secara individu dengan nilai keseluruhan portfolio.

Scroll to Top