Shahidan tak kisah dipecat

Shahidan tak kisah dipecat

bhnews@bh.com.my

ARAU: Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan beliau tidak peduli jika dipecat daripada UMNO susulan keputusannya bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahankan Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Wilayah Persekutuan itu sebaliknya menyifatkan pemecatannya itu akan memudahkan dirinya untuk menumpukan kerja kempen bagi meraih undi untuk PN atas konsep perpaduan ummah.

“Kempen berjalan dengan lancar dan Insya-Allah gerakan untuk memartabatkan perpaduan ummah menerusi UMNO, PAS, BERSATU duduk di bawah satu bumbung tidak berjaya dilaksanakan sebelum ini.

“Insya-Allah kita akan bermula gerakan di Arau yang mana orang UMNO, PAS dan BERSATU akan sokong saya dan ini akan menampakkan jumlah yang kita dapat nanti orang mahu kepada perpaduan ummah di Arau,” katanya ketika berkempen di Kampung Mengkuang Layar, Tambun Tulang, di sini.

Turut berdepan tindakan dipecat dari UMNO adalah Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (Maran) dan penyandan kerusi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin, yang masing-masing bertanding atas tiket PN.

Mengulas lanjut jika dipecat dari UMNO, Shahidan berkata, tindakan sama patut dikenakan terhadap Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Sewajarnya Presiden UMNO dipecat kerana dirinya sendiri buat khianat disebabkan tidak ikut keputusan ‘Top 5’ parti. “Apa hebatnya dia (Ahmad Zahid) dan kita takut parti ini (UMNO),” katanya.

Shahidan berkata, Ahmad Zahid juga tidak perlu memberi amaran kepadanya sebaliknya perlu ‘cermin’ dirinya sendiri dan bertanya adakah beliau benar ikhlas dalam memperjuangkan parti.

Dalam PRU15, Shahidan berdepan cabaran calon BN, Datuk Rozabil Abd Rahman dan calon muda Pakatan Harapan (PH), Fatin Amelina Fazlie.


Shahidan tak kisah dipecat

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top