Dua biras kukuh hubungan kembara ke Da Nang

Dua biras kukuh hubungan kembara ke Da Nang

surayaroslan@mediaprima.com.my

SIAPA sangka hubungan biras sering dianggap sekadar ikatan kekeluargaan boleh berkembang menjadi persahabatan yang begitu erat sehingga mampu menjelajah negara orang bersama-sama.

Itulah pengalaman dilalui dua biras ini iaitu Khairunnisa Salleh, 42, dan Nurul Ain Khairi, 38, apabila memilih Da Nang, Vietnam sebagai destinasi percutian mereka tahun ini.

Selepas menjelajah Jepun dan Phu Quoc bersama sebelum ini, mereka sekali lagi mengemas beg, meninggalkan seketika rutin harian dan menikmati ‘me time’ yang ditaja sepenuhnya suami masing-masing.

Khairunnisa berkata, Da Nang dipilih kerana lokasinya yang dekat, mudah diakses dan mesra bajet, selain menawarkan gabungan pantai, bandar dan kawasan tanah tinggi yang menarik untuk diterokai.

Sebaik menjejakkan kaki ke bandar pesisir pantai itu, perkara pertama yang menarik perhatian mereka ialah suasana bandar yang bersih dan teratur walaupun dipenuhi motosikal.

“Nurul Ain memang peminat motosikal berkuasa tinggi. Jadi apabila melihat begitu banyak motosikal di jalan raya Da Nang, dia sangat teruja. Itu antara perkara pertama kami perhatikan sebaik tiba,” kata Khairunnisa.

Khairunnisa berkata, daripada pelbagai lokasi dikunjungi, Ba Na Hills menjadi destinasi paling meninggalkan kesan mendalam.

“Dengan suhu sekitar 15 hingga 20 darjah Celsius, kawasan tanah tinggi itu menawarkan suasana nyaman yang jauh berbeza daripada cuaca tropika Malaysia.

Malah, seni bina bangunan yang menyerupai perkampungan Eropah, taman bunga berwarna-warni serta pemandangan kabus menjadikan mereka seolah-olah berada dalam dunia fantasi.

“Kami juga sempat mencuba ‘Alpine Coaster’ yang sangat menyeronokkan. Gabungan pemandangan cantik dan aktiviti mencabar menjadikan Ba Na Hills lokasi kegemaran saya sepanjang percutian ini,” katanya.

Menurutnya, selain Ba Na Hills, mereka turut menikmati suasana malam yang santai di My Khe Beach serta keunikan Hoi An Ancient Town yang terkenal dengan bangunan berwarna kuning dan deretan tanglung yang menghiasi jalan-jalan kecil bandar lama itu.

“Namun seperti mana-mana percutian, pengalaman paling diingati bukan semestinya di lokasi pelancongan terkenal.

“Antara kenangan paling lucu yang masih menjadi bahan usikan ialah apabila kami berdua terpaksa menaiki sebuah motosikal bersama pemandu pelancong.

“Bertiga atas sebuah motosikal, pada mulanya kami tidak berhenti ketawa kerana perkara itu bukan sesuatu yang biasa dilakukan di Malaysia. Tetapi itulah yang menjadikan pengalaman itu sangat istimewa,” katanya.

Katanya lagi, lebih mencuit hati, rancangan mereka untuk menikmati urutan spa setiap malam langsung tidak menjadi kenyataan.

“Setiap kali pulang ke hotel selepas seharian berjalan, kami terlalu penat sehingga terus tertidur.

“Sampai hari terakhir kami masih belum berjaya ke spa. Ia juga akhirnya menjadi bahan jenaka sepanjang percutian,” katanya.

Khairunnisa yang juga penjawat awam berkata, walaupun memilih membawa bekalan makanan sendiri dari Malaysia, mereka tetap tidak melepaskan peluang mencuba beberapa hidangan dan minuman popular Vietnam.

“Antara yang paling mencuri perhatian ialah ‘salt coffee’ dinikmati di Hoi An bersama ‘mousse cake.’

“Gabungan rasa kopi pekat dengan lapisan krim masin menghasilkan rasa unik yang sukar dilupakan.

“Malah, ada pelancong lain yang datang bertanya kopi apa yang kami minum kerana mereka nampak kami begitu menikmati minuman itu. Bagi saya, salt coffee adalah minuman wajib cuba jika ke Vietnam,” katanya.

Katanya, selain lokasi terkenal, mereka turut menemui beberapa lokasi yang dianggap sebagai permata tersembunyi.

“Antaranya sebuah kafe menghadap Sungai Thu Bon yang menawarkan suasana tenang untuk menikmati kopi dan pencuci mulut.

“Kami juga mencadangkan pelancong mencuba pengalaman menaiki bot buluh tradisional di kawasan kampung air berhampiran Hoi An.

“Tarikan utama aktiviti ini ialah menyusuri hutan kelapa air sambil menyaksikan dan merasai sendiri persembahan bot berpusing yang cukup menghiburkan,” katanya.

Khairunnisa berkata, tidak ketinggalan, pengalaman menaiki bot pada waktu malam di Hoi An yang dihiasi cahaya tanglung berwarna-warni turut menjadi antara momen paling indah sepanjang percutian.

“Cahaya tanglung yang memantul di permukaan sungai memang sangat cantik. Ia memberikan suasana yang tenang dan romantik,” katanya.

Menurut Khairunnisa, percutian itu bukan sekadar mengenai destinasi yang dilawati, tetapi peluang mengeratkan hubungan yang sudah terjalin sejak sekian lama.

Menurutnya, hubungan mereka menjadi rapat kerana mempunyai keserasian dan saling memahami antara satu sama lain.

“Kami bebas berkongsi cerita, ketawa bersama dan menikmati pengalaman baharu tanpa perlu berpura-pura menjadi orang lain.

“Ada kalanya, perkara yang paling mengeratkan hubungan bukanlah tempat yang kita lawati, tetapi masa yang diluangkan bersama.

“Sepanjang berada di Da Nang, kami banyak berbual, berkongsi cerita dan melalui pelbagai pengalaman baharu bersama. Itu yang paling bermakna,” katanya.

Selepas Jepun, Phu Quoc dan kini Da Nang, pasangan biras ini sudah mula merancang destinasi seterusnya termasuk Almaty di Kazakhstan, Sa Pa di Vietnam dan Kunming di China.

Jika ada rezeki, keizinan dan ‘tajaan’ daripada suami masing-masing, pengembaraan mereka pasti akan diteruskan.

Kerana bagi mereka, ikatan biras yang baik bukan sekadar hubungan keluarga, tetapi persahabatan yang sentiasa membawa cerita dan kenangan baharu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top