syafiq.aznan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Penyerang Selangor FC (SFC), Shahrel Fikri Md Fauzi menunjukkan perkembangan positif selepas lebih sebulan mengalami kecederaan retak tulang kanan fibula ketika aksi bertemu Sri Pahang FC, 5 Mei lalu.
Menurut ahli fisioterapi SFC, Helber Richard, penyerang berusia 26 tahun itu tidak lagi perlu memakai kasut ortopedik yang sebelum ini digunakan untuk melindungi dan menyokong kakinya bermula minggu depan.
Justeru, Helber optimis penyerang kebangsaan itu akan kembali ‘menendang bola’ dalam masa empat hingga lima bulan akan datang selepas melihat perkembangan pemulihan yang ditunjukkan penyerang kebangsaan itu.
“Shahrel menjalani sesi pemulihan sekitar lima minggu dan memberi komitmen yang sangat baik untuk kembali pulih. Shahrel perlahan-lahan tidak lagi menggunakan kasut ortopedik semasa proses pemulihannya untuk beberapa aktiviti di gim.
“Kami sudah merancang program pemulihan untuk Shahrel selama empat hingga lima bulan. Dia menjalaninya dengan baik dengan bantuan doktor pasukan yang memantau perkembangannya, jurulatih kecergasan yang menjaga kecergasannya dan ahli nutrisi pasukan yang menyelia diet dan pemakanannya sepanjang sesi pemulihan,” katanya.
Terdahulu, bekas penyerang Perak itu mengalami kecederaan serius selepas dimasukkan sebagai pemain gantian dan hanya sempat beraksi selama 10 minit ketika menentang skuad bimbingan Dollah Salleh itu.
Sebaik sahaja dikeluarkan dari padang, Shahrel dibawa ke hospital berdekatan venue perlawanan untuk membuat pemeriksaan sinar-x dan kemudiannya terus dihantar ke Ara Damansara bagi menjalani pembedahan selepas disahkan mengalami retak tulang kanan fibula.
Sebagai rekod, pemain terbabit agak bergelut pada musim pertamanya bersama The Red Giants apabila setakat ini meledak satu gol ketika bertemu Sri Pahang FC pada aksi pembukaan Liga Super.
© New Straits Times Press (M) Bhd




