PETALING JAYA: Datuk Seri Shahril Mokhtar tanpa berselindung mengakui dirinya sebagai ‘underdog’ dalam perlumbaan merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), namun yakin status tersebut bukan penghalang untuk beliau tampil membawa agenda reformasi yang sangat diperlukan demi memulihkan serta memajukan bola sepak negara.
Ketika nama Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin dan Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan disebut-sebut sebagai calon yang memiliki kelebihan daripada segi pengaruh serta pengalaman, Shahril memilih untuk berdiri atas platform berbeza dengan menawarkan reformasi menyeluruh terhadap badan induk bola sepak negara itu.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) itu berkata, beliau tidak pernah melihat dirinya sebagai calon pilihan, namun menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan ahli-ahli gabungan untuk menentukan hala tuju FAM pada Kongres Pemilihan FAM, 17 September ini.
Menurutnya, para perwakilan kini lebih matang dan memahami keadaan sebenar yang sedang melanda bola sepak negara termasuk isu tadbir urus, laporan audit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta cabaran yang perlu dihadapi FAM pada masa depan.
“Saya sentiasa underdog dan saya rasa saya underdog. Apa-apa pun ahli gabungan yang akan membuat keputusan pada 17 September ini.
“Semua ahli gabungan yang akan mengundi tahu apa yang sudah berlaku, tahu kandungan laporan audit AFC dan sebagainya.
“Jadi keputusan di tangan mereka. Kalau mereka mahukan perubahan menyeluruh, pilihlah orang baharu. Kalau rasa masih mahu berada di takuk lama, pilih siapa yang ada. Kalau saya, perubahan akan berlaku. Itu kerja saya dan di mana-mana korporat pun, kerja saya adalah ‘mencuci’,” katanya.
Kenyataan itu dilihat sebagai mesej paling jelas setakat ini mengenai hala tuju yang mahu dibawanya jika diberi mandat menerajui FAM, terutama ketika badan induk itu masih bergelut memulihkan keyakinan penyokong susulan pelbagai isu yang mencetuskan polemik sejak kebelakangan ini.
Bagaimanapun, Shahril menegaskan beliau masih belum membuat keputusan muktamad sama ada akan menerima pencalonan tersebut atau sebaliknya kerana mahu terlebih dahulu mendapatkan pandangan serta restu Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Presiden FAS.
“Masih ada masa lagi. Sebab itu saya masih tidak berkempen dan tidak pergi mana-mana pun. Belum sampai masanya untuk buat keputusan, mungkin paling lewat 1 September.
“Raja Muda Selangor memang memberikan dorongan sebelum ini, tetapi pada tahap ini saya perlu berbincang dengan bos saya dahulu sama ada akan bertanding atau tidak. Jika Raja Muda restu, saya akan pergi (bertanding),”ujarnya.
Situasi itu menjadikan perebutan kerusi No.1 FAM terus menjadi perhatian apabila ketiga-tiga nama yang mendapat pencalonan, termasuk Hamidin dan Ab Ghani, masih belum mengumumkan pendirian rasmi sama ada akan menerima atau menolak pencalonan masing-masing.
Dengan Kongres Pemilihan FAM hanya berbaki beberapa minggu sahaja lagi, persoalan sama ada ahli gabungan mahu mengekalkan kepimpinan sedia ada atau memilih haluan baharu kini menjadi topik hangat dalam kalangan pemerhati bola sepak tempatan. – UTUSAN

