sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelari wanita negara, Shereen Samson Vallabouy menepati ramalan apabila memenangi pingat emas acara 400 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura yang berlangsung di Stadium Nasional, Singapura, hari ini.
Dalam aksi final itu, Shereen jelas berada pada prestasi terbaik apabila sukar dicabar pesaing lain dan kekal mendahului sehingga melepasi garisan penamat dengan catatan 54.24 saat (s).
Pelari Indonesia, Mergina Asyerem terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dengan masa 55.96s manakala wakil tuan rumah, Laavinia Jaiganth pula meraih gangsa dengan 57.24s.
Bagi Shereen, dia akan menggunakan momentum ini sebagai pemangkin untuk meningkatkan prestasi dan menamatkan larian dengan catatan masa lebih baik selepas ini.
“Ini adalah pembuka musim saya. Ia agak awal untuk saya, jadi saya akan ambil momentum dari sini dan teruskan ke depan. Saya rasa ini permulaan yang baik, catatan 54 saat, hampir kepada 53 saat.
“Sudah tentu ini membantu membina keyakinan. Berdasarkan musim lalu, saya berada di landasan yang baik sekarang. Saya semakin yakin dengan latihan, terus menunjukkan peningkatan dan sekarang hanya perlu terus bekerja keras untuk jadi lebih baik,” katanya kepada Olahraga Malaysia (MA) selepas aksi final.
Sementara itu, pelari 400m lelaki negara, Umar Osman turut mempamerkan larian cemerlang apabila meraih emas dalam acara berkenaan meskipun berada di belakang pada awalnya.
Namun, pada 100m terakhir, Umar mula menyusun langkah dan meningkatkan intensiti larian dan strategi itu membuahkan hasil cukup positif buat dirinya.
“Alhamdulillah, saya dapat nombor satu hari ini dan saya sangat bersyukur. Tapi dari segi catatan masa, masih banyak yang perlu saya perbaiki. Ini adalah pembuka musim untuk saya, jadi memang saya letakkan jangkaan yang tinggi.
“Apa pun, saya terima keputusan hari ini dengan positif. InsyaAllah, saya akan buat yang lebih baik dalam kejohanan seterusnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



