Shiera menangis bangga Auddra lancar single

Shiera menangis bangga Auddra lancar single

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon dan penyampai radio, Sharifah Shahirah gagal menahan sebak apabila melihat kejayaan anak perempuannya, Auddra Zulkifly melancarkan single sulung, Gelanggang Rasa.

Selebriti yang mesra disapa Shiera itu meluahkan rasa bangga melihat langkah berani anak gadisnya berusia 17 tahun dalam menembusi pasaran muzik tempatan.

Menurutnya, hatinya turut tersentuh apabila bakat anaknya mendapat perhatian daripada ibu angkatnya, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Saya rasa macam ada satu ‘falsafah’ apabila tengok gambar tular bintang bola sepak Lionel Messi mandikan Lamine Yamal dalam tab mandi.

“Pada mulanya saya ingat anak saya ini biasa-biasa saja, namun apabila Siti mula pegang Odda, dia terus nampak luar biasa.

“Saya sangat terharu Siti ambil Odda bernaung di bawahnya, tetapi kejayaan ini datang atas usaha gigih anak ini juga dari kecil,” katanya.

Isteri kepada pelakon Ijoy Azhari ini juga langsung tidak menyangka tuah jatuh ke riba Auddra Zulkifli atau lebih mesra disapa Odda.

Dalam pada itu, Shiera berkata, dia sentiasa menyokong hala tuju seni anaknya selagi ia membawa impak positif kepada masa depan Odda.

“Perjalanan karier bakat muda ini masih jauh dan dia perlukan lebih banyak latihan vokal untuk memantapkan kualiti nyanyian.

“Mungkin selepas ini dia akan menukar genre atau mencuba pelbagai lagi gaya baharu memandangkan perjalanannya masih panjang dan ini baru sahaja fasa permulaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top