LATEST
National

Vega sedia cabar Infantino

Vega sedia cabar Infantino

LONDON: Bekas kapten Switzerland, Ramon Vega tidak gentar berdepan Gianni Infantino dalam perebutan jawatan Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), malah yakin mampu menamatkan penguasaan penyandang itu pada pemilihan Mac tahun depan.

Vega, 55, yang pernah membantu Tottenham Hotspur menjuarai Piala Liga pada 1999 walaupun beraksi dalam perlawanan akhir dengan buku lali patah, percaya semangat juang dan keazamannya mampu membawanya meraih kemenangan dalam pemilihan berkenaan.

Bekas pertahanan tengah itu membuat lebih 60 penampilan dalam Liga Perdana Inggeris, selain pernah beraksi semusim di Serie A bersama Cagliari dan menjalani tempoh pinjaman bersama Celtic.

Selepas bersara pada 2003, Vega yang fasih enam bahasa membina kerjaya dalam dunia perniagaan, selain pernah mencuba nasib merebut jawatan Presiden FIFA pada 2015, 2019 dan 2023.

Beliau berkata gabungan pengalaman sebagai pemain, pengetahuan perniagaan dan integriti menjadikannya calon sesuai untuk menyatukan pemain, penyokong serta pentadbir bola sepak.

Bagaimanapun, Vega perlu mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya lima persatuan bola sepak kebangsaan sebelum tarikh akhir pencalonan Rabu depan, selain membuktikan beliau mempunyai pengalaman dalam peranan berkaitan bola sepak baru-baru ini.

Walaupun enggan mendedahkan pihak yang menyokong pencalonannya, Vega mendakwa mendapat sokongan di setiap benua selepas membelanjakan wang sendiri untuk mengunjungi lebih 140 negara sepanjang sedekad lalu bagi mendapatkan sokongan.

“Saya seorang pemain bola sepak. Jika sebagai pemain saya turun ke final piala dan percaya saya akan kalah, lebih baik saya gantung but sebelum melangkah ke Stadium Wembley.

“Falsafah pemilihan ini sama. Saya bertanding untuk menang. Anda perlu mempunyai keberanian dan keazaman,” katanya kepada Reuters menerusi Zoom dari Dubai.

Vega turut menjadikan pengalamannya beraksi dalam final Piala Liga 1999 dengan buku lali patah sebagai bukti kesungguhan untuk mencapai kemenangan.

“Saya akan berjuang habis-habisan untuk memastikan kita menang demi sukan ini. Saya tidak berminat mengenai diri sendiri. Saya mempertahankan sukan milik rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Vega mengkritik rancangan Infantino berhubung skim FIFA Forward Enterprise (FFE) yang mencadangkan penjualan pegangan dalam kejohanan FIFA termasuk Piala Dunia.

Beliau menyifatkan rancangan itu sebagai satu pengkhianatan kerana didakwa dibentangkan tanpa pengetahuan Majlis FIFA dan keluarga bola sepak dunia.

“Menjual pegangan Piala Dunia tanpa pengetahuan Majlis FIFA dan seluruh keluarga FIFA adalah satu pengkhianatan sepenuhnya.

“Secara moral dan etika, perkara itu tidak boleh diterima,” katanya.

Infantino sebelum ini mengakui terdapat kesilapan dalam cara beliau menyampaikan rancangan FFE dan menyatakan kesediaan untuk menerima semakan bebas terhadap sistem tadbir urus FIFA.

Vega bagaimanapun mengakui tidak mempunyai masalah peribadi dengan Infantino, tetapi mendakwa penyandang itu semakin bersikap autokratik dan didorong egonya sendiri.

Infantino kekal sebagai calon pilihan untuk memenangi penggal keempat selepas mengukuhkan sokongan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, namun sumber yang mengetahui perkara itu berkata badan induk bola sepak Eropah, UEFA masih mencari calon pencabar lain sebelum tarikh akhir pencalonan.

Vega yang mengumumkan hasrat bertanding sebulan lalu kini menjadi antara pencabar kepada Infantino, selain bekas ketua Persatuan Bola Sepak Jepun, Kozo Tashima yang turut mengisytiharkan pencalonannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news