Shuhaily kembali bertugas selepas bercuti, pengerusikan mesyuarat AKPS

Shuhaily kembali bertugas selepas bercuti, pengerusikan mesyuarat AKPS

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kembali menjalankan tugas hari ini selepas bercuti minggu lalu.

Perkembangan itu dikongsikan menerusi Facebook rasmi AKPS yang memaklumkan beliau mempengerusikan Mesyuarat Commander’s Call Bilangan 3/2026 bersama pegawai kanan serta komander pintu masuk agensi berkenaan.

Perancangan Gerak Atur 2027 menjadi antara tumpuan mesyuarat, merangkumi usaha memperkemas hala tuju strategik dan meningkatkan kesiapsiagaan operasi bagi memperkukuh kawalan sempadan negara.

Menurut AKPS, pertemuan tersebut turut menjadi ruang penyelarasan gerak kerja untuk meningkatkan kecekapan pengoperasian agensi.

Aspek integriti dan keselamatan di semua pintu masuk negara turut diberikan penekanan bagi memastikan tanggungjawab kawalan serta perlindungan sempadan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Mesyuarat berkenaan juga membincangkan kesinambungan agenda strategik AKPS dalam menghadapi cabaran operasi pada tahun hadapan.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk mengembalikan Mohd Shuhaily, yang berkhidmat sebagai Ketua Pengarah AKPS menerusi kontrak peminjaman kader, kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat baru-baru ini.

Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily, 54, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis.

Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada Mohamad Faiz Saman berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), antara jam 1.27 hingga 1.35 tengah hari pada 28 September lalu.

Pertuduhan kedua pula membabitkan dakwaan menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Ekmal Sofwan Dirman di tempat dan pada waktu yang sama.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sumber: Facebook AKPS

Scroll to Top