Siap siaga hadapi banjir

Siap siaga hadapi banjir

am@hmetro.com.my

Gua Musang : Kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) diteruskan di daerah ini dengan penganjuran Program Latihan Simulasi Bot serta Penyelamatan dan Pameran Penerangan Persediaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026, di sini, hari ini.

Program yang membabitkan penyertaan hampir 40 agensi itu memberi peluang kepada peserta merasai situasi sebenar ketika proses penyelamatan.

Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Gua Musang, Budie Dharma Azman berkata, program terbabit turut membabitkan penggunaan aset milik beberapa agensi.

Katanya, walaupun daerah ini masih belum dilanda banjir besar yang membabitkan ramai penduduk namun pihaknya sentiasa bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan banjir berlaku.

“Program ini membabitkan hampir 20 agensi dengan kira-kira 40 penyertaan wakil dan ketua jabatan. Melalui penganjuran program ini, peserta yang terdiri daripada ketua dan wakil jabatan akan merasai sendiri pengalaman menaiki bot untuk menyelamat.

“Mereka juga diberi pendedahan tentang situasi sebenar sekiranya berlaku banjir dan tindakan awal yang perlu dilakukan terutama kepada penghulu dan wakil penduduk iaitu individu yang paling dekat dengan masyarakat.

“Program ini akan dianjurkan setiap tahun sebagai pendedahan awal kepada peserta untuk menghadapi banjir,” katanya ketika ditemui pada program terbabit, di Taman Tasik Perdana, di sini.

Katanya, program yang turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membabitkan penggunaan tujuh buah bot.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top