Pada 3 Julai lalu, seorang anggota komando Grup Gerak Khas (GGK) dilaporkan hilang ketika menjalani latihan Seaghost di perairan Kuantan, Pahang.
Selepas hampir 48 jam operasi mencari dan menyelamat dilakukan, mayat Koperal Mohd Haswansir Julnasir ditemui terdampar di tebing berbatu kira-kira 300 meter dari lokasi kehilangannya.
Panglima Tentera Darat dedah siasatan awal

Menerusi laporan Harian Metro, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati peralatan yang digunakan dalam insiden itu mungkin telah melebihi jangka hayat operasi yang optimum.
Kami sedang meneliti kes ini. Berdasarkan penemuan awal, terdapat isu berkaitan peralatan yang digunakan, yang agak usang. Kami sedang menjalankan semakan dan audit menyeluruh untuk menentukan sama ada insiden itu berpunca daripada kesilapan manusia atau kegagalan peralatan.
Hafizuddeain berkata, siasatan masih berjalan dan hasilnya akan diumumkan selepas proses tersebut selesai.
Pihak tentera tubuh lembaga siasatan

Menurut Hafizuddeain, pihaknya telah menubuhkan sebuah lembaga siasatan khas bagi menyiasat secara terperinci berhubung insiden yang mengorbankan komando dari Rejimen Ke-22 itu.
Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa semua aset ketenteraan, termasuk senjata dan kelengkapan taktikal, tertakluk kepada jangka hayat perkhidmatan yang ditetapkan serta perlu melalui penyelenggaraan berkala mengikut jadual yang telah ditentukan.
Ada yang ditetapkan untuk 10 tahun, ada juga untuk 20 tahun. Dalam tempoh itu, penyelenggaraan berjadual mesti dilakukan. Apa yang kami sedang teliti sekarang ialah sama ada prosedur penyelenggaraan itu dipatuhi mengikut jadual.
Ketika ditanya tempoh yang diperlukan untuk menyiapkan siasatan penuh, Hafizuddeain berkata bahawa ia bergantung kepada tahap kerumitan isu yang sedang diteliti.

Salam takziah kepada keluarga Koperal Mohd Haswansir Julnasir, pengorbanannya akan sentiasa dikenang sebagai lambang keberanian dan semangat juang anggota tentera darat. Al-Fatihah.
Kredit: Harian Metro
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Dapatkan kemaskini harian Oh! Media setiap hari terus di emel melalui langganan percuma di bawah.
Farhan adalah perancang strategik untuk tim Oh! Media yang gemar menulis segmen politik dan tidak ketinggalan meneroka isu-isu semasa. Dengan kepakaran dan minat mendalam, Farhan memastikan setiap penulisannya memberikan perspektif yang bernas dan menarik.