harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Peguam mewakili bintang Selangor FC, Muhammad Faisal Abdul Halim menggesa siasatan membabitkan anak guam mereka diperhebatkan lagi.
Ia susulan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang berkata siasatan masih diteruskan walaupun kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) oleh pihak Pejabat Peguam Negara.
Peguam, Nik Zarith Nik Moustpha berkata, pihaknya menyambut baik perkara itu dan berharap ia dapat diselesaikan segera.
“Pada saya kita berlandaskan kepada surat daripada pihak Peguam Negara yang menyatakan sebagai NFA, tetapi kita alu-alukan perkara itu jika betul disiasat.
“Kalau betul dia (polis) siasat kita minta diperhebatkan lagi siasatan dan penting juga untuk ada engagement (libat urus) dengan pihak kami,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, kes serangan asid ke atas Faisal Halim diklasifikasikan sebagai NFA kerana tiada suspek dikenal pasti.
Nik Zarith dilapor berkata, perkara itu dimaklumkan kepada pihaknya menerusi satu surat bertarikh 18 Februari 2025 daripada pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).
Susulan itu, Mohd Shuhaily ketika mengulas isu berkenaan menjelaskan klasifikasi NFA adalah prosedur operasi standard (SOP) dalam siasatan jenayah, khususnya apabila tiada bukti kukuh mengaitkan suspek.
Katanya, tiga suspek yang ditahan sebelum ini dibebaskan selepas siasatan menunjukkan suspek sebenar menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Menurutnya, pihak polis akan terus mengemas kini perkembangan kes kepada peguam Faisal dari semasa ke semasa, dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Untuk rekod, pemain kebangsaan itu mengalami kecederaan melecur dipercayai akibat disimbah asid ketika berada di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Petaling Jaya di Selangor pada 5 Mei 2024.
Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat dan terpaksa menjalani beberapa siri pembedahan sebagai rawatan lanjut susulan insiden itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




