H: Gandingan sulung Syafiq Kyle, Beto Kusyairy jadi tarikan naskhah terbaharu
Balqis Nadhirah Zulhaiza
am@hmetro.com.my
FOTO Aziah Azmee
Petaling Jaya: Gabungan dua pelakon popular, Syafiq Kyle dan Beto Kusyairy buat pertama kali di layar perak menerusi filem HAK: Tuntut Atau Tunduk dijangka menjadi antara tarikan utama naskhah aksi terbaharu terbitan Astro Shaw.
Filem yang masih dalam fasa produksi itu di bawah arahan Ezrie Gazali yang mengetengahkan kisah survival masyarakat bandar yang berdepan tekanan ekonomi serta desakan hidup sehingga mendorong mereka membuat pilihan berisiko.
Ketua Astro Shaw merangkap Penerbit Eksekutif filem itu, Raja Jastina Raja Arshad berkata, gabungan Syafiq dan Beto menjadi antara kekuatan utama naskhah terbabit.
“Buat pertama kali, penonton dapat melihat Syafiq Kyle dan Beto Kusyairy bertembung dalam aksi mendebarkan seperti ‘musang memburu ayam’.
“Mereka digandingkan bersama barisan pelakon dan pasukan kreatif yang hebat diterajui Ezrie Gazali serta penulis skrip, Alfie Palermo,” katanya.
Skrip filem itu ditulis Alfie Palermo berdasarkan cetusan idea asal Santharuban Thurai Sundaram sendiri.
Sementara itu, Santharuban berkata, idea filem terbabit tercetus hasil pemerhatiannya terhadap perubahan landskap perniagaan semasa membabitkan masyarakat tempatan.
Katanya, semakin ramai rakyat tempatan melepaskan peluang dalam bidang perniagaan sehingga ruang itu dimanfaatkan pekerja asing yang semakin berjaya mengembangkan perniagaan mereka.
“Isu ini wajar diberi perhatian secara lebih positif dan terbuka. Harapan saya, filem ini dapat membuka mata masyarakat mengenai pentingnya rakyat tempatan merebut peluang dan membina pemilikan sendiri,” katanya.
Selain Syafiq dan Beto, filem itu turut dibintangi Kodi Rasheed, Mimi Lana, Fadhli Masoot, Aziz M Osman, Radhi Khalid, Rubini Sambanthan, El Umar Mokhtar dan Datuk Fizz Fairuz.
© New Straits Times Press (M) Bhd




