saiful.haizan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Persatuan Faktor Manusia dan Ergonomik (HFEM) berharap matlamat siasatan kemalangan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya ditumpukan kepada aspek pencegahan.
HFEM memaklumkan, ia boleh dilaksanakan melalui strategi mengenal pasti masalah sistemik dan organisasi serta mengetengahkan pendekatan tidak menyalahkan.
“Sebaliknya (tumpu) bagaimana dan mengapa sistem pencegahan gagal memastikan persekitaran kerja dan perjalanan ulang-alik lebih terjamin.
“Reka bentuk sistem yang kompleks atau dalam kes ini sistem kereta api boleh mempengaruhi keupayaan operator untuk mengoperasikannya dalam keadaan selamat dan boleh dipercayai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam kejadian jam 8.30 malam kelmarin, tren LRT bersama 213 penumpang dari Gombak bertembung dengan tren dari arah Kelana Jaya yang tidak membawa penumpang dan dipercayai mengalami masalah teknikal.
Semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengumumkan jawatankuasa khas siasatan diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT), Datuk Isham Ishak yang turut dianggotai lima pakar dari luar.
HFEM berkata, kesilapan dan kecuaian manusia hanya simptom tetapi prestasi manusia dipengaruhi oleh pelbagai faktor antaranya reka bentuk tempat kerja, panel kawalan dan susun atur papan pemuka, prosedur kerja, persekitaran, kompetensi pekerja dan tahap mental.
Katanya, dengan menganalisis kemalangan berdasarkan perspektif faktor manusia dan ergonomik, isu saling berkaitan yang lebih mendalam dari aspek organisasi, kognitif dan fizikal akan dapat diteliti.
“Hasil keputusan kajian sepatutnya menjadi tumpuan awam dan bukannya untuk salah-menyalahkan satu sama lain.
“Ini akan memberi jaminan kukuh kepada semua pihak yang terbabit dalam insiden ini termasuk ribuan pengguna yang bergantung kepada perkhidmatan LRT ini setiap hari,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




