Siasatan Sapura Energy: SPRM akan mohon MLA perolehi bukti di Brazil, Singapura, Belanda

Siasatan Sapura Energy: SPRM akan mohon MLA perolehi bukti di Brazil, Singapura, Belanda

illahhafiz.abdulaziz@bh.com.my

Kajang: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menggunakan pakai Bantuan Undang-Undang Bersama (MLA) di beberapa negara asing untuk memperoleh maklumat dan bukti berkaitan siasatan kes pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Sapura Energy Bhd (SEB).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, bantuan itu akan dilaksana melalui Jabatan Peguam Negara (AGC).

Beliau berkata, pihaknya sudah menyiapkan permohonan MLA itu dan akan diserahkan kepada AGC dalam tempoh terdekat ini.

“MLA berkenaan akan diuruskan bersama pihak AGC di mana kita semua kena tahu, dalam usaha mendapatkan bukti daripada luar negara, ia memerlukan kuasa dan kelulusan daripada Peguam Negara.

“Jadi kita perlu membawa perkara ini (siasatan) kepada AGC dan (MLA negara asing dilaksanakan) sekiranya Peguam Negara bersetuju. Saya berharap ia dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini,” katanya ketika ditanya pemberita selepas merasmikan Peluncuran Polisi Integriti Universiti Islam Selangor (UIS) Selangor di sini, hari ini.

Azam sebelum ini mendedahkan, sekurang-kurangnya tiga negara iaitu Brazil, Singapura dan Belanda dikesan terbabit dalam transaksi pelaburan mencurigakan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.

Katanya, keterangan berhubung transaksi kewangan di luar negara itu penting untuk membantu siasatan pihaknya.

Beliau turut mendedahkan dua rakyat Malaysia turut dikesan menjadi proksi dalam pelaburan mencurigakan itu.

Mengulas lanjut, Azam berkata, pihaknya sedang berusaha melengkapkan siasatan terhadap salah laku di SEB, termasuklah memanggil lebih ramai saksi.

“Sememangnya lebih ramai saksi akan dipanggil untuk dirakam percakapan dan kami giat membuat analisis kewangan daripada dokumen-dokumen yang kita peroleh,” katanya.

Sebelum ini, BH melaporkan, SPRM sedang menyiasat seorang tokoh perniagaan bergelar ‘Tan Sri’ berhubung kes pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan SEB.

Individu berkenaan sudah hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk dirakam percakapan selama dua hari berturut-turut.

Fokus siasatan SPRM menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 iaitu salah guna kuasa dalam isu membabitkan ganjaran yang meliputi gaji, bonus dan syer, selain yuran penjenamaan dan amalan penyenaraian persendirian antara 2012 hingga 2021.

Siasatan juga sedang mengenal pasti kesalahan pecah amanah, salah guna dana dan pemalsuan di bawah Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top