mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Proses merekod keterangan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dijadualkan esok ditangguhkan atas faktor kesihatan.
Menurut sumber, keterangan Ismail Sabri oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan direkodkan pada Jumaat ini.
“Proses merekod percakapan beliau (Ismail Sabri) esok ditangguhkan kepada jam 10 pagi, Jumaat, di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Beliau ada MC (sijil cuti sakit). Penangguhan kerana tahap kesihatan Ahli Parlimen Bera itu yang rendah,” katanya kepada Harian Metro malam ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan proses rakaman percakapan Ismail Sabri ditangguhkan esok dan akan diambil pada hari lain.
Semalam, menerusi sidang akhbar, Azam dilaporkan berkata, bekas pemimpin itu adalah suspek bagi siasatan kes berkenaan.
SPRM sudah merakam keterangan 31 saksi dalam kes terbabit selepas menerima aduan pada awal tahun lepas.
Pada 10 Februari lalu, Ismail Sabri sudah menghantar maklumat pengisytiharan harta sebelum keterangannya direkodkan pada 19 Februari lepas.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
SPRM dilaporkan menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa, antaranya Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, serta 16 kilogram jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM7 juta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




