Siasatan SPRM terhadap HRD Corp masih berjalan- Azam Baki

Siasatan SPRM terhadap HRD Corp masih berjalan- Azam Baki

PETALING JAYA: Semua siasatan berhubung Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), termasuk berkaitan perolehan dan pelaburan masih diteruskan. 

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata demikian susulan laporan sebuah portal berita tempatan hari ini yang memetik kenyataan seorang pegawai SPRM bahawa kes tersebut telah ditutup.

“Saya tidak pasti dari sudut mana pegawai itu merujuk isu tersebut, namun secara umumnya SPRM telah membuka beberapa kertas siasatan terhadap HRD Corp.

“Saya telah mengarahkan pegawai memaklumkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bahawa mungkin pegawai berkenaan merujuk kepada salah satu kertas siasatan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutup Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) di sini, hari ini.

Tambahnya, secara keseluruhan, kertas siasatan masih berada di peringkat siasatan dan belum diputuskan oleh Timbalan Pendakwa Raya. 

Terdahulu, laporan portal berita itu sebelum ini menyatakan bahawa SPRM tidak menemui sebarang salah laku dalam HRD Corp dan tiada kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 yang dilakukan.

HRD Corp mula mendapat perhatian pada Julai lalu susulan laporan Ketua Audit Negara dan PAC yang mendedahkan beberapa dakwaan penyelewengan, termasuk agihan dana yang mencurigakan, transaksi hartanah yang diragui, serta pelaburan berisiko.

Berikutan laporan itu, SPRM telah menghantar pasukan penyiasat ke pejabat HRD Corp untuk mengumpulkan dokumen sebagai sebahagian daripada siasatan.

SPRM memaklumkan pihaknya akan memberi tumpuan kepada siasatan berhubung pelaburan, pengurusan dana latihan, dan pembelian hartanah oleh HRD Corp.

Antara isu utama yang dibangkitkan pada Julai lalu ialah penglibatan HRD Corp dalam transaksi hartanah mencurigakan, khususnya pembelian bangunan enam tingkat bernilai RM154 juta di Bangsar South tanpa kelulusan lembaga pengarah.

-habis-

Scroll to Top