Kuantan: Sepasang suami isteri ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum di sebuah rumah di Kampung Bukit Rangin, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, lelaki dan wanita, masing-masing berusia 52 dan 62 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira 4 petang selepas polis bertindak atas maklumat awam berkaitan kegiatan itu.
“Polis turut merampas 1,150 balutan plastik lut sinar seberat 187.5 kilogram (kg) berisi daun ketum dan pelbagai barang dipercayai untuk kegunaan membuat air ketum di rumah itu.
“Keseluruhan rampasan dianggar bernilai RM15,745,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasangan itu dipercayai memproses kira-kira 300 kg daun ketum seminggu dan menjual air ketum berharga RM40 untuk satu bungkus.
Ashari berkata, hasil siasatan mempercayai kegiatan berkenaan dijalankan lebih sebulan lepas manakala kedua-duanya kini direman empat hari mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
© New Straits Times Press (M) Bhd
