PETALING JAYA: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 edisi ke-10 menyasarkan nilai transaksi berpotensi sebanyak RM8 bilion serta sekurang-kurangnya 500 pertemuan padanan perniagaan berimpak tinggi.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, sasaran itu mencerminkan aspirasi Selangor untuk meningkatkan kualiti pelaburan yang dibawa masuk ke negeri itu, selain menjadikan SIBS 2026 sebagai platform utama bagi membangunkan kerjasama rentas sempadan bernilai tinggi.
“SIBS 2026 turut berperanan memperkukuh kedudukan Selangor sebagai pintu masuk utama ke ASEAN, khususnya dalam menarik pelaburan dan membuka peluang perniagaan baharu di peringkat serantau.
“Matlamat kami bukan sekadar mencapai angka tersebut, tetapi meningkatkan kualiti pelaburan yang masuk ke negeri ini.
“SIBS 2026 akan menjadi landasan utama kepada perkongsian rentas sempadan bernilai tinggi, sekali gus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai pintu masuk utama ke ASEAN,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran SIBS 2026 di sini semalam.
SIBS 2026 akan berlangsung pada 14 hingga 17 Oktober 2026, bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Menurut Sze Han, SIBS bukan sekadar sebuah sidang kemuncak perniagaan, sebaliknya platform yang berperanan membentuk agenda ekonomi serantau.
“Laluan ke hadapan menawarkan potensi yang besar dan kami mengalu-alukan rakan industri, syarikat multinasional, perusahaan tempatan serta agensi Persekutuan untuk bersama-sama membentuk masa depan ini,” katanya.
Penganjuran edisi ke-10 itu dijangka menjadi antara platform penting bagi mempertemukan pemain industri, syarikat multinasional, perusahaan tempatan dan agensi kerajaan dalam usaha memperluas jaringan perdagangan serta pelaburan.
Memasuki dekad pertama penganjurannya, SIBS 2026 dijangka menjadi edisi paling besar dan menyeluruh dengan sokongan rakan penganjur termasuk Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (Sidec), Selangor Technical Skills Development Centre Shah Alam (STDCx) dan Wanita Berdaya Selangor (WBS).
Antara program utama yang akan berlangsung ialah Selangor ASEAN Business Conference (SABC), yang menghimpunkan pemimpin pemikiran, pembuat dasar dan pemain industri antarabangsa, selain menampilkan ucaptama khas daripada Bank Dunia.
Selangor Investment Forum (SIF) pula akan menyediakan seminar peringkat tinggi berkaitan ekosistem pelaburan pelbagai sektor, manakala Selangor Investment and Industrial Park Expo (SPARK) memberi tumpuan kepada ekosistem pembuatan maju yang bersedia menerima pelaburan.
SIBS 2026 turut menampilkan Selangor AI and Semiconductor Summit (AiSEM@Selangor), yang memberi fokus kepada pembuatan berteknologi tinggi serta reka bentuk litar bersepadu (IC). – UTUSAN
