khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persiapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sudah berada di tahap siap siaga sepenuhnya sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan bermula 26 hingga 28 Oktober ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya mengingatkan semua masyarakat untuk memberikan kerjasama khususnya di kawasan persidangan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Saifuddin Nasution turut menyeru agar orang ramai tidak mengadakan sebarang aktiviti atau berkumpul dalam radius keselamatan semasa sidang kemuncak berkenaan.
“Walaupun ada perbezaan antara kita ataupun aktivis dalam kalangan penggerak masyarakat sivil, saya tegaskan mereka boleh nak menyampaikan hasrat mereka, berkumpul dan sebagainya.
“Cuma, beri kerjasama kepada pasukan keselamatan, lokasi di mana tetamu negara berada, satu, tempat persidangan dan kedua, hotel penginapan mereka.
“Lain dari itu (dibenarkan berhimpun). Radius yang kita panggil (kawasan) keselamatan sebaiknya mereka tidak mengadakan sebarang aktiviti atau berkumpul,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Enam lebuh raya dan 25 jalan utama dilapor akan ditutup secara berperingkat bermula 26 hingga 28 Oktober ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Ia membabitkan Lebuhraya ELITE (KLIA-Putrajaya); Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) (Subang-Jalan Duta); Lebuhraya Koridor Guthrie (GUTHRIE); Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) (Sungai Buloh-Jalan Duta); Lebuhraya Maju (MEX); Lebuhraya KL-Seremban (Sungai Besi-Pusat Bandar).
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, dijangka menerima kehadiran pemimpin-pemimpin dari kuasa besar dunia, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang dimaklumkan akan hadir.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, negara ini dijangka menerima sekurang-kurangnya 23 ketua kerajaan, selain persiapan polis sudah bermula pada 16 Oktober lalu.
“Banyak ‘dry run’ kita buat, terutama membabitkan laluan protokol, ada tetamu yang sampai dari Subang, ada tetamu yang turun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Kesemua laluan protokol telah kita kenal pasti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




