Sidang Khas Parlimen ikut peraturan, patuh perlembagaan

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Sidang Khas Dewan Rakyat yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini diadakan mengikut peraturan mesyuarat dan menepati kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata di bawah peraturan mesyuarat 11(3), mesyuarat khas ini diadakan apabila berlaku penanguhan dalam sidang Parlimen.

“Parlimen ini sekarang dalam penangguhan. Kita belum prorog penggal ketiga, teknikalnya kita masih dalam penggal ketiga yang ditangguh. Itu hari sudah diedar takwim penggal keempat yang akan bermula pada 6 September.

“Jadi selalunya, amalan kita sebelum mulakan penggal baru itu, penggal sekarang akan diprorog selama seminggu sebelumnya. Jadi sekarang, belum diprorog. Jadi kita sekarang dalam penggal ketiga yang tertangguh,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Jawapan itu diberi beliau selepas ramai Ahli Parlimen pembangkang bangkit mempersoalkan mengenai persidangan khas Dewan Rakyat, yang disifatkan mereka tidak mengikut peraturan mesyuarat, dengan isu dibangkitkan adalah mengenai tiadanya ruang perbahasan dan undian oleh Ahli Parlimen.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, di bawah peraturan mesyuarat 11(3) juga, prosedurnya menetapkan bahawa Perdana Menteri mempunyai prerogatif untuk memanggil sidang khas ini.

“Perdana Menteri akan memberi pemakluman kepada saya sebagai Yang Dipertua Dewan, bahawa dalam pendapat Perdana Menteri untuk kepentingan awam dan masyarakat adalah penting dan mustahak untuk diadakan satu sidang walaupun tarikh mesyuarat akan datang belum sampai.

“Pemakluman terbabit sudah diberi kepada saya oleh Perdana Menteri dan yang paling penting, peraturan 11(3) urusan mesyuarat ditetapkan oleh Perdana Menteri, itu prerogatifnya. Sidang khas ini adalah proregatif Perdana Menteri,” katanya.

Amalan sama juga di Parlimen United Kingdom (UK) yang mana sidang khas dibenarkan untuk diadakan dengan persetujuan pihak kerajaan.

“Di UK, mengikut ‘standing order’ mereka sidang khas boleh dipanggil kerajaan. Di sini Perdana Menteri, di UK kerajaan.. itu beza dia,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, ketika bangun mencelah menjelaskan di bawah peraturan mesyuarat 11(3) juga memperuntukan dalam konteks Parlimen, sidang boleh diadakan secara biasa atau menerusi sidang khas.

“Pada 2009 sidang khas juga pernah diadakan untuk membincangkan isu pencerobohan Israel (ke Palestin),” katanya.

Sidang khas hari ini membenarkan semua 218 Ahli Parlimen kecuali dua orang yang disahkan positif COVID-19 hadir ke Dewan Rakyat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, termasuk perlu menjalani ujian saringan COVID-19 serta memakai pelitup muka.

© New Straits Times Press (M) Bhd