hafizithnin@mediaprima.com.my
BAGI pemilik kucing yang menjadikannya sebagai haiwan kesayangan, aktiviti memotong kuku haiwan itu menjadi perkara yang rutin dan dilakukan secara berkala.
Ini kerana jika kuku kucing terlalu panjang boleh memberi masalah kepada kesihatan si comel dan juga tingkah laku haiwan itu.
Malah, kuku kucing yang panjang juga antaranya boleh mengakibatkan barangan di dalam rumah rosak akibat di cakar haiwan kesayangan itu.
Justeru, di dalam ruangan Kubela kali ini, kami ingin kongsikan beberapa panduan yang mungkin boleh dipraktikan pemilik si bulus bagi menjaga kuku haiwan haiwan berkenaan.
1. Potong secara berkala
Bagi pemilik kucing, anda perlu rajin untuk memeriksa tahap kepanjangan kuku kucing dari semasa ke semasa supaya dapat memastikan waktu yang sesuai untuk memotongnya.
Kebiasaannya, pemilik kucing akan memotong kuku kucing antara dua hingga empat minggu sekali kerana dalam tempoh berkenaan, kuku kucing akan mula tumbuh.
Gunakan pemotong kuku khas yang dijual di kedai haiwan kesayangan dan bukan menggunakan pemotong kuku manusia kerana ia mempunyai spesifikasi khas yang lebih selamat untuk memotong kuku haiwan berkenaan.
Malah, menggunakan pemotong kuku manusia yang dikongsi bersama dengan kucing adalah tidak sesuai dari segi tahap kebersihan dan kesihatan.
2. Cara memotong kuku yang betul
Jika anda tidak mahu membawa kucing kesayangan ke tempat merias haiwan kesayangan atau ke doktor veterinar untuk memotong kuku kucing anda, pastikan anda tahu cara yang betul untuk memotong kuku si comel itu.
Pastikan anda hanya memotong di hujung kuku yang tajam sahaja dan bukan sehingga ke bahagian quick yang berwarna merah jambu berhampiran dengan kulit kerana di situ terdapat saraf dan salur darah.
Pastikan anda melakukannya dengan cara yang amat berhati-hati supaya kucing kesayangan tidak tercedera di bahagian kuku dan boleh menyebabkan haiwan itu menjadi trauma.
3. Didik sejak kecil
Kadang-kala amat sukar untuk memujuk kucing kesayangan anda untuk memotong kuku. Malah, ada antara haiwan itu yang bersikap agresif apabila si pemilik ingin memotong kukunya.
Sebenarnya sebagai pemilik kucing, anda boleh mendidik dan membiasakan aktiviti memotong kuku haiwan kesayangan anda itu sejak dari si comel kecil lagi.
Apabila haiwan itu sudah terbiasa, ia akan mempunyai tahap kepercayaan kepada anda untuk melakukan aktiviti memotong kuku. Jangan lakukan secara kasar atau memaksa.
Pastikan kucing anda dalam keadaan benar-benar tenang dan memberikannya ‘hadiah’ dalam bentuk makanan kegemaran selepas memotong kuku mungkin boleh menaut hati si comel itu.
4. Periksa secara rutin
Ketika anda bermain atau bermesra dengan kucing kesayangan, pastikan anda sering kali melihat keadaan kuku haiwan itu supaya boleh memastikan tahap kepanjangan dan kesihatannya tumbuh dengan baik.
Sekiranya terdapat perkara yang tidak normal di bahagian kuku yang dipotong, anda perlu merujuk kepada doktor veterinar untuk memastikan tahap kesihatannya.
Jika terdapat pendarahan atau bahagian kuku yang dipotong itu bernanah, ia bermaksud kuku kucing anda dalam keadaan yang tidak sihat dan perlu dibawa pemeriksaan dan dirawat dengan segera.
5. Sediakan alat mencakar
Di pasaran ketika ini terdapat pelbagai alat mencakar yang dijual pada pelbagai harga. Alat mencakar ini bukan sekadar alat permainan kepada kucing yang sememangnya secara semula jadinya mencakar.
Malah, alat ini membantu untuk mengupas lapisan luar kuku yang lama dan mengekalkan kuku dalam keadaan sihat dan tajam secara semula jadi.
Alat mencakar ini juga membantu supaya perabot anda tidak menjadi lokasinya untuk mencakar dan melatih haiwan itu supaya mencakar di kawasan yang sudah disediakan sahaja.
© New Straits Times Press (M) Bhd