am@hmetro.com.my
Muar: Polis menemui sepucuk pistol serta sekotak mengandungi 50 butir peluru hidup susulan penahanan empat individu positif dadah termasuk seorang wanita di sebuah rumah di Paya Panjang, Bukit Pasir, di sini, semalam.
Keempat-empat suspek berusia antara 31 hingga 38 tahun ditahan pasukan dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, jam 4.30 petang.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata hasil pemeriksaan di rumah terbabit menemui sepucuk pistol tiruan jenis ‘Glock 17 Austria’.
Katanya, turut ditemui 50 butir peluru hidup milik suspek dengan hasil soal siasat mereka mendakwa pistol itu adalah barang lama yang digunakan untuk menembak cicak.
“Namun, polis masih menjalankan siasatan lanjut terhadap dakwaan dibuat suspek,” katanya dalam kenyataan.
Raiz Mukhliz berkata, selain itu, polis turut menjumpai syabu dan heroin di rumah terbabit.
Katanya, ujian air kencing mendapati mereka positif dadah methampethamine, selain memiliki beberapa rekod lampau berkaitan dadah.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Muar untuk reman.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960, Seksyen 39A (1) dan juga Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd