am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Taktik sindiket pengedaran dadah yang menyewa dua unit rumah dalam pangsapuri sama yang mana satu daripadanya dijadikan lokasi memproses dan membungkus semula dadah gagal mengaburi polis.
Sindiket didalangi seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang baharu dua bulan aktif, tumpas pada empat serbuan yang dijalankan di sekitar daerah ini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, serbuan hasil risikan seminggu itu dibuat pada 12 Jun dan 13 Jun lalu dengan polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM1.28 juta.
“Selain dalang, tiga lagi lelaki tempatan, seorang lelaki warga Singapura dan seorang wanita Thailand berusia 30 hingga 39 tahun turut ditahan.
“Sindiket menjadikan pangsapuri berpagar dan berpengawal sebagai tempat membungkus serta menyimpan dadah sebelum diedar untuk pasaran tempatan.
“Lokasi serbuan membabitkan dua inap desa dan sebuah pangsapuri yang mana sindiket akan menyewa dalam tempoh singkat dengan caj kira-kira RM300 sehari sebelum berpindah ke lokasi lain.
“Di pangsapuri itu, mereka menyewa dua unit rumah yang mana satu dijadikan stor dan sebuah sebagai tempat tinggal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS, di sini, hari ini.
Dadah dirampas membabitkan 7.669 kilogram serbuk ekstasi, 13.6 gram ketamin dan lapan gram pil eramin 5.
Polis turut menyita wang RM3,000, dua kereta dan barang kemas menjadikan keseluruhan nilai rampasan dan sitaan lebih RM1.48 juta.
“Sindiket memproses dan membungkus semula dadah dalam paket kecil yang kelihatan seolah-olah jus minuman tiga dalam satu. Ia dijual pada harga RM200 hingga RM300 sepaket,” katanya.
Ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif methamphetamine. Mereka direman 12 hari sehingga 24 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
© New Straits Times Press (M) Bhd



