Sindiket kad Arakan tidak diiktiraf tumpas

Sindiket kad Arakan tidak diiktiraf tumpas

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Sindiket yang mencetak kad bagi ‘pelarian’ etnik Arakan, Myanmar menyamai kad Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) tumpas hasil serbuan di sebuah rumah kedai dua tingkat sekitar Kluang, minggu lalu.

Dalam Ops Serkap yang dijalankan jam 11.30 pagi, 26 Jun lalu, yang juga hasil risikan dan pemantauan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor selama dua hari itu, turut ditahan empat lelaki dan seorang wanita semuanya warga Myanmar berusia 26 hingga 49 tahun.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, mereka yang ditahan termasuk dalang kepada sindiket yang dipercayai sudah aktif sejak lima hingga enam tahun lalu.

“Sasaran utama sindiket ini adalah warga asing yang terdiri daripada individu etnik Arakan yang datang ke Kluang untuk bekerja, namun tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Sindiket akan mengenakan caj bayaran RM5,000 bagi permohonan untuk mendapatkan Kad Arakan ini membolehkan mereka berada di Malaysia.

“Walaupun sindiket ini dipercayai aktif sejak lima hingga enam tahun lalu, namun, kerana mereka hanya tertumpu kepada etnik Arakan sahaja, maka sindiket ini tidak mendapat perhatian daripada etnik yang lain,” katanya ketika sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Setia Tropika di sini, hari ini.

Mohd Rusdi berkata, pihaknya akan berhubung dengan pihak UNHCR untuk mendapatkan maklumat lanjut memandangkan terdapat logo UNHCR pada Kad Arakan berkenaan.

“Saya tidak boleh kata kad ini palsu atau tidak, tetapi yang pasti ia tidak diiktiraf di negara ini,” jelasnya.

Menurut Mohd Rusdi, hasil pemeriksaan dalam premis berkenaan, pihaknya turut menemui tiga lelaki warga Myanmar berusia 35 hingga 49 tahun yang dikurung dan dipercayai telah sampai ke premis itu sejak dua minggu lalu dan tidak pernah keluar daripada premis.

“Kunci premis hanya dikawal oleh dalang atau ejen sindiket itu dan ketiga-tiga mangsa itu turut mengakui tidak dibenarkan keluar oleh suspek kerana belum mendapat pekerjaan dan diarahkan untuk menunggu di dalam premis sehingga ada majikan yang akan mengambil mereka bekerja,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas dua pasport Myanmar, 12 keping Kad Arakan (tertera logo UNHCR), sebuah telefon pintar, beberapa Borang Pendaftaran UNHCR dan wang tunai berjumlah RM15,855.00.

Katanya, semua suspek warga Myanmar disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.

Manakala, Mohd Rusdi berkata, suspek yang juga ejen sindiket itu turut disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 (Akta 670)

“Berpandukan Garis Panduan Nasional mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI) 2.0, semua mangsa diselamatkan di bawah Seksyen 44 Akta Atipsom 2007,” jelasnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top