Sindiket pelacuran: Dua bapa ayam, 10 wanita ditahan

Sindiket pelacuran: Dua bapa ayam, 10 wanita ditahan

KUALA LUMPUR – Sindiket aktiviti pelacuran menyasarkan pelanggan warga asing tumpas dalam serbuan di sebuah premis di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan semalam.

Serbuan Op Gegar itu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor sekitar 10 malam hasil maklumat awam dan risikan selama dua minggu.

Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, pihaknya telah menahan 13 individu warga asing termasuk wanita disyaki pelacur yang kesemuanya berusia di antara 21 hingga 35 tahun.

Antara yang ditahan terdiri 10 wanita warga asing iaitu warga Vietnam (6), Indonesia (2) dan Thailand (3) turut ditahan tiga lelaki warga India yang juga pelanggan di premis itu.

“Dalam operasi itu, kita turut menahan dua lelaki warga tempatan berusia 45 dan 60 tahun disyaki sebagai penjaga premis terbabit serta berperanan menjadi bapa ayam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Khairrul Aminus berkata, pihaknya merampas kamera litar tertutup (CCTV) dan pelbagai barangan lain yang disyaki digunakan untuk aktiviti pelacuran.

“Modus operandi sindiket tersebut adalah menyediakan perkhidmatan pelacuran kepada pelanggan terdiri daripada warga asing sekitar kawasan terbabit,” jelasnya.

Tambahnya, kesemua warga asing terbabit dibawa ke Depot Imigresen Semenyih dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” ujarnya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top