Sindiket penipuan cinta di Batu Ferringhi tumpas, 20 warga asing ditahan

Georgetown: Polis menahan 20 lelaki warga asing disyaki terlibat dalam sindiket penipuan cinta atau love scam dalam talian selepas menyerbu sebuah rumah yang dijadikan inap desa di Batu Ferringhi semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kesemua suspek berusia antara 19 hingga 41 tahun itu ditahan dalam serbuan pada 7.05 malam oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut bersama anggota Balai Polis Batu Ferringhi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu menyasarkan mangsa dari China dengan menggunakan aplikasi Telegram bagi urusan penipuan dalam talian.

“Polis turut merampas beberapa barangan, antaranya telefon bimbit, komputer riba, buku nota dan peralatan telekomunikasi bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan dan kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 27 Ogos untuk siasatan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top