Bekas pemain gitar The Times, Nazreen meninggal dunia dalam kemalangan

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas pemain gitar dan pemain keyboard kumpulan The Times, Nazreen meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Miri, Sarawak pagi ini.

Berita sedih ini dikongsikan kumpulan terbabit di Threads.

“Al-Fatihah buat Ex-Gitaris The Times Ein Aka Nazreen yang baru meninggalkan kita semua pada 10:52 pagi tadi…

Semoga Roh Beliau Dicucuri Rahmat,” tulis mereka.

Menerusi satu kenyataan berkaitan pula, vokalis dan pemain gitar utama The Times, Natazar atau Naza menjelaskan

latar belakang pembabitan arwah bersama mereka dalam The Times.

“Nazreen adalah anggota The Times selepas album Soda Pop Rock ‘N’ Roll ketika album itu membuat repackage iaitu repackage Soda Pop Rock ‘N’ Roll.

“Dia juga terlibat dalam pembikinan album kedua, Nada Melankolik Malaya, dan album ketiga, dia tak siapkan tapi dia sempat bermain beberapa buah lagu dalam album Modern Minimalist Glamour,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham Nazreen adalah pemain gitar dan juga pemain keyboard untuk The Times daripada tahun 2004 sehingga 2007.

“Saya diberitahu perkara ini oleh sahabat saya, Alim, anggota OAG juga The Times daripada Kuching pagi tadi. Dan ia amat mengejutkan kamilah sebab dia pergi terlalu cepat.

“Sebab dia baru saja hubungi saya bulan lepas bertanya khabar. Dia rindu The Times, dan dia nak t-shirt The Times, album baru The Times, dan ‘wish me good luck’ (ucap selamat maju jaya) lah.

“Jadi amat sedih. beliau meninggalkan rasanya ada seorang anak dan seorang isteri. Saya tak tahu nak cakap apa sebab amat sedihlah kehilangan seorang kawan yang pernah menganggotai The Times.

“Famili The Times amat sedih pada hari ini, ” katanya.

Sementara itu, sumber memberitahu Harian Metro, arwah Nazreen menjadi mangsa langgar lari namun tidak dapat dikesan dia berlanggar dengan siapa. Malah pihak berkuasa masih mencari pemberi maklumat sekiranya ada.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top