am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Daya tarikan harga pasaran minyak terpakai mendorong sindiket penyeludupan minyak masak peket bersubsidi menukar modus operandi mereka.
Terbaharu, sindiket penyeludupan berkenaan tidak lagi melakukan pembungkusan semula minyak masak subsidi, tetapi mengisytiharkan sebagai minyak terpakai berikutan harga pasaran yang tinggi.
Tindakan itu diklasifikasikan sebagai ‘penipuan berganda’ apabila menipu perolehan minyak masak peket bersubsidi dan mengisytihar sebagai minyak masak terpakai.
Penganalisis Jenayah, Shahul Hamid Abd Rahim berkata, trend semasa menunjukkan sindiket penyeludupan dan penyelewengan bukan sekadar ‘angkat barang kawalan’, tetapi mencipta rantaian haram lebih kompleks.
“Minyak masak peket bersubsidi diproses semula, dicampur atau digantikan dengan minyak masak terpakai sebelum dijual kepada pihak ketiga termasuk segmen industri dan pasaran tidak sah.
“Taktik ini mengubah subsidi rakyat menjadi keuntungan gelap dan pada masa sama, golongan sasar minyak masak subsidi berkenaan berdepan ketiadaan stok di pasaran.
“Pendedahan paling ketara apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membongkar sindiket yang didakwa mencampurkan atau mengisytiharkan minyak masak bersubsidi dengan minyak terpakai sebelum dijual semula pada harga lebih tinggi,” katanya.
Shahul Hamid berkata, laporan menunjukkan sindiket membeli minyak peket satu kilogram pada harga subsidi sekitar iaitu RM2.50, kemudian menjualnya sebagai ‘minyak masak terpakai’ pada harga sekitar RM3 hingga RM3.70 sekilogram.
Menurutnya, modus operandi ini menonjolkan satu perkara iaitu minyak terpakai kini mempunyai nilai pasaran dan apabila harga tinggi, ia menjadi ‘modal’ untuk sindiket memanipulasi bekalan bersubsidi.
Sementara itu, Pakar Ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, kerajaan menyediakan peruntukan subsidi yang besar untuk minyak masak, terutamanya untuk paket satu kg (dikenali sebagai Skim Penstabilan Harga Minyak Masak – COSS) bagi mengekalkan harga stabil iaitu RM2.50 setiap satu kg untuk rakyat.
“Perbelanjaan kerajaan pernah cecah hampir RM8 bilion pada 2021 untuk menampung kenaikan harga global, sambil mengawal ketirisan melalui sistem seperti eCOSS dan penguatkuasaan bagi memastikan bekalan mencukupi.
“Jika taktik sindiket ini membabitkan jumlah minyak masak subsidi dalam kuantiti yang banyak, ia akan mengganggu bekalan di pasaran kelak.
“Hari ini pun setiap isi rumah yang layak tidak boleh membeli lebih kuantiti minyak masak subsidi peket ini, apatah lagi apabila ia dimanipulasi sindiket,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




