Sindiket SMS Scam Tumpas Hasil Kerjasama Strategik MCMC-Polis

Sindiket SMS Scam Tumpas Hasil Kerjasama Strategik MCMC-Polis

Satu sindiket penyebaran SMS palsu menggunakan peralatan telekomunikasi haram Fake Base Transceiver Station (Fake BTS) berjaya ditumpaskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama polis menerusi Op Pancing, baru-baru ini.

Unit Komunikasi Korporat MCMC dalam kenyataan memaklumkan sindiket berkenaan turut menghantar SMS mengandungi pautan phishing dan berunsur perjudian.

Katanya, operasi itu juga berjaya membongkar modus operandi terbaru sindiket yang mengubahsuai Fake BTS untuk beroperasi secara mudah alih.

“Berdasarkan aduan awam dan risikan, seorang individu ditahan semasa mengendalikan peralatan Fake BTS dalam sebuah kenderaan yang diletak berhampiran sebuah pusat membeli belah utama di Kuala Lumpur.

“Pemeriksaan menemukan kelengkapan komunikasi yang berfungsi sebagai Fake BTS dalam keadaan aktif.

“Ujian frekuensi mengesahkan peralatan tersebut bukan sahaja menghantar SMS mengandungi kandungan palsu, pautan phishing, tetapi juga berunsur perjudian kepada orang awam di sekitar kawasan tersebut,” kata kenyataan itu.

Fake BTS ialah peralatan telekomunikasi haram yang meniru fungsi menara pemancar rangkaian mudah alih sebenar untuk menghantar SMS palsu kepada orang awam tanpa melalui syarikat telekomunikasi.

Kebiasaannya, mesej yang dihantar mengandungi pautan phishing untuk mencuri maklumat peribadi seperti nombor akaun bank, kata laluan atau OTP dan iklan perjudian haram.

Bahayanya, pengguna yang berada berhampiran peralatan ini boleh menerima mesej palsu secara automatik tanpa menyedari ia datang daripada sumber tidak sah.

Tambah kenyataan berkenaan, susulan tangkapan itu, MCMC dengan bantuan PDRM telah menyerbu sebuah premis kediaman teres dua tingkat di Kota Kemuning, Shah Alam.

Katanya, premis tersebut dijadikan tempat penyimpanan kenderaan termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kelengkapan komunikasi berkaitan Fake BTS.

“Siasatan awal turut berjaya mengenal pasti modus operandi terbaharu sindiket, di mana kelengkapan komunikasi Fake BTS tersebut telah diubah suai untuk beroperasi secara mudah alih.

“Secara keseluruhannya, 45 barangan telah disita dengan anggaran nilai RM100,000.

“Seorang individu turut dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut,” kata Komunikasi Korporat MCMC.

Kes disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM1,000,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes itu juga disiasat di bawah Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 yang membawa hukuman denda maksimum sebanyak RM300,000 atau penjara maksimum tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali.


Scroll to Top