am@hmetro.com.my
Melaka: Kelicikan satu sindiket penipuan tawaran kerja sambilan tidak wujud dalam talian akhirnya berkubur apabila dibongkar polis menerusi serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Puncak Bertam, di sini, hari ini.
Dalam serbuan kira-kira 10.30 pagi itu, dua lelaki warga China berusia 28 dan 38 tahun yang dipercayai dalang utama sindiket berkenaan diberkas ketika sedang menjalankan aktiviti penipuan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, operasi khas Op Frontier + III itu dilakukan hasil risikan rapi Bahagian Risikan/Operasi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) IPD Melaka Tengah.
Menurutnya, premis yang diserbu itu dijadikan pusat panggilan bagi mengendalikan aktiviti penipuan tawaran kerja sambilan secara dalam talian.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berperanan sebagai ‘khidmat pelanggan’ yang menjadi penggerak utama bagi memperdaya mangsa.
“Mereka dipercayai menawarkan pekerjaan sambilan tidak wujud melalui aplikasi Telegram sebelum memujuk mangsa membuat bayaran tertentu kononnya bagi mendapatkan tugasan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, sindiket berkenaan baru beroperasi sejak Februari lalu dan menyasarkan mangsa kalangan warga China yang menetap di Amerika Syarikat.
“Namun, kegiatan mereka tidak bertahan lama apabila berjaya dikesan dan dibongkar pihak polis melalui operasi khas ini.
“Dalam serbuan ini polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk komputer riba, telefon bimbit dan peralatan rangkaian yang digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM30,000,” katanya.
Christopher berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu.
Katanya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana sindiket penipuan dalam talian dan akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




