am@hmetro.com.my
Kuantan: Polis menumpaskan sindiket membangunkan aplikasi untuk kegunaan scammer menjalankan penipuan penukaran mata wang hasil serbuan di sebuah rumah di Puncak Lestari, Mentakab di Temerloh.
Selain menyediakan aplikasi itu, kumpulan terbabit turut mengendalikan kegiatan penipuan dalam talian untuk urusan pertukaran mata wang asing dengan sasaran mangsa membabitkan warga China.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman, berkata hasil serbuan kira-kira jam 6.50 petang, 2 Disember lalu, polis menahan lima suspek termasuk dua wanita berusia 29 dan 39 tahun.
Menurutnya dua lelaki warga China dipercayai mempunyai kemahiran dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) turut ditahan.
Katanya, hasil serbuan itu polis merampas pelbagai alatan digunakan mereka termasuk komputer, telefon bimbit dan peranti wi-fi bernilai lebih RM30,000.
“Berdasarkan siasatan, mereka membangunkan aplikasi untuk kegunaan scammer mengendalikan kegiatan penukaran mata wang asing yang tidak wujud.
“Aplikasi itu digunakan kumpulan dan bertugas di pusat panggilan scam di lokasi lain untuk menjalankan kegiatan penipuan berkenaan.
“Polis masih mengesan lokasi pusat itu dan juga kaitan dengan lima suspek ditahan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Yahaya berkata, berdasarkan siasatan semua mangsa mereka adalah warga China dan kegiatan penipuan itu menggunakan mata wang negara terbabit.
Menurutnya, polis masih menyiasat jumlah kerugian dan mangsa diperdaya sindiket terbabit.
Katanya, siasatan mengenai keseluruhan rangkaian sindiket itu termasuk mengesan pembabitan orang tempatan mendalangi kegiatan itu sedang dilakukan.
“Semua suspek termasuk seorang lelaki dan seorang wanita tempatan ditahan terbabit mendakwa mereka hanya pekerja.
“Suspek mendakwa memohon pekerjaan dengan kumpulan itu melalui Facebook dan laman web carian kerja.
“Mereka kemudian ditawarkan kerja sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan gaji antara RM2,500 dan RM4,000 sebulan,” katanya.
Menurut Yahaya, selepas suspek bersetuju menerima tawaran itu mereka diarah ke rumah terbabit.
“Selain suspek membangunkan aplikasi untuk kegiatan penipuan itu mereka turut bertindak sebagai scammer dan dipercayai meraih keuntungan berpuluh ribu ringgit sehari serta semua transaksi dilakukan menerusi akaun bank di China,” katanya.
Yahaya berkata, serbuan pusat panggilan scam itu adalah yang ketiga di Pahang, selepas membongkar kegiatan sama di Bentong, Februari lalu dan Bera, 27 November lalu.
Katanya, polis percaya sindiket terbabit mengubah taktik beroperasi di kawasan terpencil di negara ini bagi mengelak dikesan pihak berkuasa di China.
© New Straits Times Press (M) Bhd




