mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus komited membanteras isu buli dalam kalangan pelajar.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, PDRM melalui Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) kekal komited membanteras buli dalam kalangan pelajar.
Menurutnya, sebagai inisiatif proaktif, Kempen Anti-Buli dilancarkan pada Oktober lalu bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pelajar, ibu bapa dan komuniti sekolah mengenai bahaya dan kesan buli, mencipta persekitaran sekolah yang selamat dan positif serta menggalakkan sikap hormat dan empati termasuk memberi sokongan kepada mangsa buli.
“Selain itu, usaha memperkasakan kerangka keselamatan sekolah di peringkat nasional, turut digerakkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Induk Permuafakatan PDRM-KPM, pada 28 Oktober lalu.
“Ia menetapkan strategi, indikator dan penggubalan dasar komprehensif bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Bulan Disember 2025 anjuran JPJKK di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Mohd Khalid berkata, diharapkan agar sinergi inter-agensi ini, khususnya melalui peranan aktif Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) mampu meningkatkan keberkesanan tindakan PDRM dalam mendepani isu keselamatan di sekolah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




