Singapura dakwa terima kesan lebih teruk

Singapura dakwa terima kesan lebih teruk

farid_noh@bh.com.my

Johor Bahru: Singapura dilaporkan menerima kesan lebih teruk susulan tumpahan minyak yang dikesan di Tanjung Langsat Port Terminal (TLPT), Pasir Gudang, di sini, kelmarin.

Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan (MPA) Singapura dalam kenyataan berkata, kerja pembersihan susulan tumbuhan minyak yang hanyut ke negara berkenaan sedang giat dijalankan dan operasi pembersihan dilaporkan hanya dijangka selesai dalam beberapa hari lagi.

Sehubungan itu, MPA dan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura mengeluarkan arahan kawasan terjejas pencemaran minyak itu terus ditutup kepada orang awam bagi memudahkan usaha pembersihan.

“Orang awam dinasihatkan supaya tidak berenang atau menjalankan sebarang aktiviti air di Pantai Changi dan Pantai Pasir Ris sehingga makluman lanjut diberikan.

“Kerja-kerja pembersihan di Pantai Changi dan Pantai Pasir Ris kini sedang giat dijalankan, dan sebahagian besar operasi dijangka selesai dalam beberapa hari akan datang.

“Tompokan minyak juga telah dilihat di beberapa ladang ikan di sepanjang Selat Johor Timur.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, Agensi Makanan Singapura (SFA) akan menjalankan ujian ke atas makanan laut dari ladang ikan di kawasan itu serta makanan laut yang diimport, bagi memastikan keselamatan pengguna,” kata kenyataan berkenaan, semalam.

Semalam, media melaporkan sebanyak 1.6 meter padu tumpahan minyak dikesan di Tanjung Langsat Port Terminal (TLPT), Pasir Gudang, Johor Bahru, malam kelmarin.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar, dilaporkan berkata tumpahan minyak itu disebabkan kebocoran paip yang menyalurkan minyak Very Low Sulfur Fuel Oil (VLSFO) dari tangki terminal ke kapal MT EPITOME di Jeti Tanjung Langsat Port (TLP), di Pasir Gudang.

Dalam pada itu, MPA Singapura berkata, tiada kesan tompokan minyak baharu dikesan di perairan sekitar Pulau Ubin sehingga jam 4 petang semalam.

Bagaimanapun, agensi itu memaklumkan pihaknya akan terus memantau insiden tumpahan minyak itu secara rapi.

“Lembaga Taman Negara (NParks), bersama rakan penyelidik, telah menjalankan penilaian visual di kawasan biodiversiti sensitif berhampiran kawasan yang terjejas.

“Setakat ini, tiada kesan terhadap hidupan liar dilaporkan di kawasan seperti Tanah Lembap Chek Jawa, Taman Pantai Changi dan Taman Pasir Ris.

“Langkah pencegahan seperti pemasangan penghadang minyak (oil booms) telah dilaksanakan di saliran pantai termasuk Sungai Changi, Sungai Tampines dan Sungai Api Api, serta lokasi utama lain seperti Chek Jawa dan kawasan ladang ikan.

“Agensi Air Kebangsaan (PUB) turut memasang pengadang minyak di pintu air takungan Punggol dan Serangoon sebagai langkah berjaga-jaga tambahan,” kata kenyataan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top