Bakat baharu industri muzik tempatan, Atta Rumnan terus mencuri perhatian apabila single terbarunya bertajuk Mengejar Kasih berjaya menempatkan diri dalam playlist popular Spotify, Pop Terkini.
Lebih membanggakan, lagu tersebut turut dipilih sebagai cover utama playlist berkenaan, satu pengiktirafan besar buat penyanyi muda yang sedang menguatkan kedudukan dalam arena muzik.
“Alhamdulillah, saya terharu dan tak sangka lagu ini tersenarai dan menjadi muka depan bagi playlist terbabit. Saya difahamkan, Pop Terkini merupakan antara playlist paling berpengaruh di platform itu, menghimpunkan lagu pop terkini yang sedang mendapat perhatian ramai dan memiliki lebih 122,000 simpanan,” kata Atta.

Diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia, Mengejar Kasih hadir sebagai karya pop balada bernafas rock dengan elemen gitar yang kuat sejak permulaan lagu. Susunannya yang sederhana namun emosional memberi ruang kepada pendengar untuk merasai perjalanan jiwa lagu ini dengan tenang tetapi tetap menyentuh perasaan.
“Penyertaan Mengejar Kasih dalam senarai ini sekali gus membuka peluang lebih luas untuk pendedahan dan pertumbuhan jumlah penstriman yang lebih pesat. Ia juga menggambarkan keyakinan Spotify terhadap potensi karya saya untuk bersaing dalam pasaran muzik semasa,” katanya.

Karya ini dihasilkan oleh Ledu bersama Atta Rumnan sendiri, menjadikannya hasil yang terlahir daripada kejujuran rasa dan imaginasi mendalam, walaupun penyanyinya masih di usia muda.
Walaupun lagu ini membawa kisah kerinduan, kehilangan dan penantian, Atta mengakui sebahagian emosi tersebut dilakonkan melalui imaginasi serta empati terhadap kisah sekeliling, demi memastikan penyampaian kedengaran hidup dan tulus.
Mengejar Kasih kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube.
Dengan sokongan Sony Music Entertainment Malaysia serta pemilihan sebagai salah satu lagu tumpuan dalam Pop Terkini, Atta Rumnan dilihat berada di landasan yang tepat sebagai antara nama baharu yang berpotensi besar dalam industri muzik Malaysia.



