Monte Carlo: Jannik Sinner menewaskan Carlos Alcaraz straight set untuk memenangi Masters Monte Carlo buat kali pertama awal pagi tadi, sekali gus merampas semula ranking nombor satu dunia daripada pesaingnya dari Sepanyol itu.
Sinner menundukkan Alcaraz 7-6 (7/5), 6-3 untuk meraih gelaran ATP 1000 ketiga tahun ini selepas melengkapkan ‘Sunshine Double’ bulan lalu dengan kemenangan di Masters Indian Wells dan Terbuka Miami.
Pemain berusia 24 tahun itu kini menyertai Novak Djokovic dan Rafael Nadal sebagai satu-satunya pemain ketiga yang memenangi empat gelaran ATP 1000 berturut-turut. Dia juga turut menang di Paris pada penghujung musim lalu.
“Kami datang ke sini untuk cuba mendapatkan sebanyak mungkin perlawanan dan maklum balas sebelum kejohanan besar seterusnya. Hari ini tahap permainan sangat tinggi daripada kedua-dua kami,” kata Sinner.
“Angin agak kuat dan keadaan berbeza. Keputusannya sangat menakjubkan.
“Untuk kembali ke ranking nombor satu sangat bermakna bagi saya. Sangat gembira dapat menang di gelanggang tanah liat, sebelum ini saya belum pernah lakukan.”
Ini pertemuan pertama Sinner dan Alcaraz sejak kemenangan pemain Itali itu di Final ATP pada November.
Sinner kini mempunyai rekod 7-10 menentang Alcaraz dalam kariernya dan akan kembali ke tangga teratas ranking dunia hari ini.
Dia juga mencatat 17 kemenangan berturut-turut dan menjadi pemain pertama sejak Djokovic pada 2015 yang memenangi tiga kejohanan ATP 1000 pertama dalam satu musim.
“Pencapaian kamu sangat mengagumkan,” kata Alcaraz kepada Sinner ketika majlis penyampaian trofi. “Hanya seorang pemain pernah menang Sunshine Double dan Monte Carlo, dan kamu adalah yang kedua.”
Alcaraz sebelum ini mencatat 17 kemenangan berturut-turut di gelanggang tanah liat sejak musim lalu ketika menjuarai Terbuka Itali di Rom dan Terbuka Perancis di Roland Garros.
Dia mengakui Sinner lebih baik pada saat-saat penting perlawanan.
“Saya rasa pada detik penting, mata penting, saya tidak bermain dengan baik. Saya ada banyak peluang tetapi tidak memanfaatkannya,” kata Alcaraz.
© New Straits Times Press (M) Bhd




