KOTA BHARU – Ketika ramai masih malu bertutur dalam Bahasa Inggeris kerana takut dilabel ‘koya’ atau berlagak, seorang guru tampil dengan pendekatan luar biasa apabila berkongsi video pembelajaran santai subjek itu di TikTok sehingga meraih lebih 1.2 juta pengikut.
Usaha Ahmad Shahrul Azhan Ibrahim, 50, atau lebih dikenali sebagai Sir Asai bermula ketika pandemik Covid-19 pada 2020 selepas beliau mendapati minat pelajar terhadap Bahasa Inggeris semakin merosot walaupun mereka aktif di media sosial.
Guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Ghafar 2 itu berkata, pelajar kini lebih banyak meluangkan masa di platform digital, berbanding memberi tumpuan kepada pembelajaran secara konvensional.
“Motivasi mereka semakin menurun tetapi mereka aktif di TikTok, jadi saya cuba mendekati mereka melalui platform tersebut.
“Jika pelajar banyak habiskan masa di media sosial, di situlah juga pendidikan perlu berada,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL (Kepujian) dari University of Exeter, United Kingdom itu kepada Sinar Ahad.

Sebahagian ‘konten’ santai bersama pelajar berkaitan sebutan perkataan dalam Bahasa Inggeris. – Foto: Sir Asai
FOTO SIR ASAI
Menurutnya, kandungan video dihasilkan berbeza dengan suasana pengajaran di dalam kelas kerana disampaikan secara ringkas, santai dan mudah difahami.
Ujarnya, selain boleh diakses pada bila-bila masa, kaedah itu juga dapat membantu pelajar yang bersifat introvert untuk lebih berani melibatkan diri dalam pembelajaran.
Beliau berkata, pengalaman lebih 25 tahun sebagai guru Bahasa Inggeris banyak membantu dalam memastikan kandungan dihasilkan tepat dan selari dengan silibus.
“Setiap video saya semak terlebih dahulu bagi mengelak kekeliruan atau menimbulkan persepsi negatif.
“Ada juga topik yang saya ambil terus daripada buku teks supaya pelajar lebih mudah faham,” katanya.

Walaupun aktif di media sosial, keutamaan Ahmad Shahrul Azhan (berdiri, kiri) tetap tertumpu kepada pelajar, khususnya yang bakal menduduki peperiksaan SPM. – Foto: Sir Asai
Mengulas cabaran mengajar Bahasa Inggeris, beliau mengakui masih terdapat segelintir pelajar yang malu bertutur kerana bimbang dipandang serong.
“Masih ada stigma apabila bercakap dalam Bahasa Inggeris dianggap ‘koya’ atau berlagak tetapi sekarang semakin ramai yang berani mencuba,” ujarnya.
Tambah beliau, tugas sebagai pendidik tetap menjadi keutamaan meskipun aktif menghasilkan kandungan media sosial dengan fokus kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurutnya, kebiasaan video pembelajaran itu dirakam pada waktu rehat selepas sekolah atau hujung minggu.
Beliau berpandangan, penglibatan guru di media sosial mampu memberi impak positif kepada pendidikan sekiranya kandungan yang dihasilkan mempunyai nilai ilmu.



