JOHOR BAHRU: Ribuan ahli-ahli parti komponen Pakatan Harapan (PH) mula berhimpun di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini bagi menghadiri Konvensyen PH, hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, ahli-ahli parti PKR, DAP dan juga Parti Amanah Negara (Amanah) dari seluruh Malaysia telah mula mengunjungi lokasi konvensyen seawal pukul 7.30 pagi.
Menurut Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil, konvensyen itu dijangka menghimpunkan seramai lebih 5,000 ahli parti-parti komponen bukan sahaja dari semenanjung Malaysia, tetapi juga Sabah dan Sarawak.
“Amanat Pengerusi PH merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi fokus utama konvensyen ini, namun kepimpinan tertinggi setiap parti komponen juga akan berucap.
“Selain itu, Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri PH juga akan berucap berkongsi pengalaman mereka mentadbir sesebuah kerajaan,” katanya.
Sementara itu, beberapa pengunjung merungut susulan masalah ketiadaan bekalan air yang berlaku di kesemua tiga tingkat pusat konvensyen berkenaan, pagi tadi.
Perkara itu menyebabkan orang ramai terpaksa menggunakan botol air mineral untuk menyelesaikan hajat mereka.
Turut berlaku gangguan bekalan elektrik selama beberapa minit di kawasan makan konvensyen berkenaan.




