Kuala Lumpur: Sistem Pengakuan Salah Kes Trafik Secara Dalam Talian (sistem e-PG) akan diperluas secara rintis di Mahkamah Majistret 13 (Trafik), Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur minggu depan (15 hingga 19 Februari).
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dalam kenyataannya pada Jumaat memaklumkan bahawa Orang Kena Saman (OKS) yang mempunyai kes didaftarkan di mahkamah tersebut boleh melayari sistem e-PG.
“Status pendaftaran kes tersebut boleh disemak dalam tempoh dua hari sebelum tarikh sebutan yang dinyatakan dalam saman trafik,” menurut kenyataan itu.
Sistem e-PG yang dilancarkan pada 2 Februari lepas, sebelum ini digunakan secara rintis di Mahkamah Majistret Shah Alam, membolehkan orang awam yang mempunyai saman kesalahan trafik membuat pengakuan salah melalui teknologi komunikasi jarak jauh dan tidak perlu hadir secara fizikal ke mahkamah.
Sistem itu bertujuan mengurangkan keperluan penerima saman kesalahan trafik untuk hadir ke mahkamah selain dapat menjimatkan masa, wang, menjaga keselamatan dan kesihatan ekoran pandemik Covid-19.
Sumber – Bernama
Malay News
Technology Desk



