Sistem ‘kurier pilihan’ bebankan pengguna dan PMKS – CCC

Sistem ‘kurier pilihan’ bebankan pengguna dan PMKS – CCC

CONSUMER Choice Center (CCC) memberi amaran bahawa cadangan pengenalan harga lantai bagi perkhidmatan kurier serta pelaksanaan dasar ‘kurier pilihan’ berpotensi merugikan pengguna dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia.

Dalam kertas dasar bertajuk ‘Levelling Down: The Negative Economic and Political Consequences of a Price Floor and ‘Buyer Choice’ for the Malaysian Courier Market’, CCC berhujah bahawa campur tangan kerajaan dalam sektor kurier boleh menjejaskan kecekapan pasaran, meningkatkan kos serta melemahkan industri logistik dalam jangka panjang.

Laporan itu merupakan respons terhadap perbincangan dasar semasa yang mencadangkan penetapan harga minimum bagi perkhidmatan kurier serta sistem ‘kurier pilihan’, yang memerlukan pengguna memilih secara manual daripada senarai penyedia kurier diluluskan.

Menurut laporan berkenaan, sektor kurier merupakan antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara, khususnya dalam menyokong ledakan e-dagang.

Namun, CCC berpandangan bahawa kawalan harga dan sistem pemilihan manual berisiko menghakis pencapaian tersebut, dengan pengguna dan perniagaan kecil dijangka menanggung kesan paling besar.

Pengarah Penyelidikan CCC, Dr Emil Panzaru berkata, cadangan harga lantai mungkin dilihat sebagai langkah melindungi pemain kecil, namun bukti menunjukkan sebaliknya.

“Harga lantai memesongkan pasaran, mengurangkan pengeluaran serta merugikan pengguna dan pengeluar tempatan. Dasar sebegini bukan menyamakan kedudukan, sebaliknya menjejaskan keseluruhan sektor,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dr Emil terlibat dalam menjalankan penyelidikan mengenai dasar pengguna, termasuk pembentangan kajian berkaitan kesan dasar harga dan isu pengguna yang berkaitan,

Beliau turut menegaskan bahawa pengalaman antarabangsa termasuk di Malaysia, menunjukkan campur tangan sedemikian membawa kepada kos lebih tinggi, akses yang semakin terhad serta penurunan kebajikan pengguna.

Laporan itu turut menekankan bahawa PMKS, yang merangkumi 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan dan antara 48 hingga 70 peratus tenaga kerja negara, akan paling terkesan akibat peningkatan kos logistik dan beban kawal selia tambahan.

Selain itu, CCC memberi amaran bahawa pelaksanaan harga lantai berpotensi memperluaskan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar, memandangkan kawasan luar bandar sedia berdepan kos logistik lebih tinggi serta kekangan infrastruktur.

Anggota Sekutu Malaysia CCC, Tarmizi Anuwar pula berkata, rakyat ketika ini sudah berdepan tekanan kos sara hidup yang tinggi.

“Harga lantai penghantaran wajib akan terus menaikkan kos dan mengurangkan akses, khususnya di kawasan luar bandar serta kawasan kurang mendapat perkhidmatan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan istilah ‘kurier pilihan’ sebagai mengelirukan kerana sistem automatik sedia ada sudah memadankan pengguna dengan perkhidmatan paling cekap dan berpatutan.

“Peralihan kepada pemilihan manual hanya akan melambatkan proses dengan kertas kerja tidak perlu, meningkatkan kelewatan dan akhirnya mengurangkan pilihan pengguna,” ujarnya.

Dalam masa sama, laporan tersebut turut membangkitkan kebimbangan terhadap risiko rasuah dan penumpuan pasaran sekiranya akses kepada senarai kurier diluluskan bergantung kepada budi bicara pihak tertentu.

Sehubungan itu, CCC mengesyorkan agar kerajaan memberi tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur, penyelarasan subsidi serta pengembangan sistem logistik automatik yang dipacu kecerdasan buatan bagi menurunkan kos.

“Penggubal dasar seharusnya menurunkan halangan dan menyokong inovasi, bukannya memperkenalkan dasar yang melindungi ketidakcekapan dengan mengorbankan pengguna,” kata Dr Emil.

Scroll to Top