Calon Isteri Buat Suami, sebuah drama bersiri yang menggandingkan pelakon berbakat Siti Hariesa dan Jazmy Juma, bakal menemui penonton menerusi slot Akasia TV3 bermula 8 April ini.
Diterbitkan oleh Sha’s Media Sdn. Bhd., drama 25 episod ini diarahkan oleh Bahri Umar dan ditulis oleh Sophilea, mengetengahkan tema cinta, kekeluargaan, dan pengorbanan.
Menurut Jazmy, pengalaman bekerjasama dengan Siti Hariesa sangat bermakna baginya.
“Bergandingan dengan Hariesa memang pengalaman yang luar biasa. Kami banyak berdiskusi dan saling menyokong demi memastikan setiap babak terasa hidup dan penuh emosi.
“Chemistry antara kami benar-benar memberi impak kepada penceritaan. Saya harap penonton dapat rasai keikhlasan kami di layar,” katanya.
Calon Isteri Buat Suami bukan sekadar kisah cinta dua jiwa, tetapi juga sarat dengan konflik dan rahsia yang menguji setia dan percaya.
Setiap episod membawa penonton menyelami cabaran dan dilema Haizi (Siti Hariesa) dan Nazim (Jazmy Juma) dalam mencari makna sebenar perjanjian yang menyatukan mereka.
Sinopsis Calon Isteri Buat Suami
Haizi (Siti Hariesa) nekad memulakan hidup baru di Kuala Lumpur selepas hubungan pertunangannya dengan Khalif berakhir. Tapi hidupnya berubah 180 darjah apabila dia menyelamatkan Datin Yasmin dalam satu kejadian tak dijangka. Dari situ, Haizi bukan saja ditawarkan kerja malah satu tawaran pelik iaitu kahwin dengan anak lelaki Datin Yasmin, Nazim (Jazmy Juma). Tapi ada syarat, kalau nak berpisah, Haizi kena cari pengganti yang lebih sesuai untuk Nazim.
Mulanya penuh keraguan dan dingin, hubungan kontrak ini akhirnya mencetuskan perasaan yang tak disangka-sangka. Tapi bila sepupu Nazim, Dayana (Trisha Ooi), muncul dengan fitnah dan dendam, cinta mereka mula goyah. Lebih berat, bila Haizi didapati mengandung, mampukah mereka bertahan atau semuanya bakal hancur?
Dengan barisan pelakon yang mantap seperti Siti Hariesa, Jazmy Juma, Trisha Ooi, Jasmin Hamid, Hazeeq Dean, dan Emelda Rosmila, saksikan drama Calon Isteri Buat Suami setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam, atau strim secara percuma di iQIYI pada jam 8.00 malam.




