mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pempengaruh media sosial dan usahawan, Siti Jamumall, 26, sekali lagi mencuri perhatian pengikutnya apabila meroyan terhadap suaminya, Aiman menerusi sesi siaran langsung TikTok tengah malam tadi.
Ketika itu, Aiman juga bersiaran langsung di TikToknya, Aiman Tak Kesah menjual produk bersama wanita dikenali sebagai Jenny.
Aiman atau nama sebenarnya, Khairul Aiman Abdul Kudus, 22, bersama Jenny mengadakan segmen teka-teki sambil menjual produk kecantikan.
Siti atau nama sebenarnya, Siti Suriani Wahiddin mulanya dilihat menghadiahkan bunga ros dalam sesi ‘live’. Bagaimanapun suasana mula kecoh apabila ada warganet menulis komen di TikTok Aiman memberitahu Siti mengamuk.
Menjengah ke sesi ‘live’ Siti pada masa yang sama, dia dilihat mengeluarkan perkataan memarahi Aiman kerana menjual produk bersama Jenny.
Menurutnya, dia sudah lama melarang suaminya untuk berhubungan dengan wanita terbabit. Dia kecewa apabila Aiman melanggar syarat yang sudah diletakkan.
Malah dia juga kecewa dan menuduh Aiman tidak berpegang pada janji yang memintanya melakukan perkara tidak elok, namun Aiman sanggup berbuat demikian.
“Kau suruh aku kawal emosi. Aku di belakang dah cakap aku tidak mahu, aku tak suka, kenapa degil, kenapa nak juga bawa? Atas alasan duit, banyak sahaja cara-cara nak cari duit.
“Tidak semestinya kau kena buat dengan dia sebab aku tahu dia itu macam mana. Aku dah cakap, aku tahu aku macam mana. Aku dah cakap, aku tidak suka, jangan buat.
“Dah banyak kali aku cakap kalau aku tak suka, jangan buat, Aiman. Dua orang ini tak faham-faham bahasa dengan pakai seluar pendek lagi,” katanya beremosi.
Siti berkata, dia sudah mengagak memang mereka akan berdua dan kesabarannya juga ada batas.
“Aku boleh jaga aku punya batas dalam idah aku, kau tak kisah nak jaga perasaan aku. Di mulut, bila sembang kau cakap oh sayanglah, itu inilah, di belakang kau buat apa pada aku.
“Kadang-kadang kan, kenapa perempuan ini dia tidak boleh nak ada sedikit rasa empati. Kenapa? Kenapa langsung tidak ada rasa sedikit. Aku tidak suka sebab mereka pernah ada bersama,” katanya.
Ada juga peminat mengaitkan Siti yang kini sedang mengandung sebagai meroyan dan dia me
ngiyakan kata-kata itu.
“Memang aku meroyan, memang aku sakit hati sebab aku di belakang empat kali dah aku tolak kata aku tidak suka. Tidak boleh ‘live’ dengan Jenny. Apa yang kau tidak faham?,” tegasnya.
Sementara itu Aiman dalam jawapannya menafikan ada hubungan intim dengan Jenny dan mereka berkawan hanya kerana urusan perniagaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




