fatin.farhana@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Aktres jelita, Siti Saleha mengaku bekerja di lokasi ketika seluruh dunia ‘berperang’ melawan pandemik COVID-19 cukup membimbangkan dan memberi cabaran tersendiri.
Menyudahkan musim kedua drama, Black, iaitu sewaktu syarikat produksi dibenarkan meneruskan aktiviti penggambaran dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat, Siti Saleha bersyukur ‘shooting’ disempurnakan mengikut amalan norma baharu.
Siti Saleha atau nama penuh, Siti Saleha Mohd Baharum memuji produksi Black yang melaksanakan SOP ketat sepanjang tempoh penggambaran.
“Secara jujur, berlakon ketika kes COVID-19 menular menakutkan. Kita tidak pernah mengalami pandemik ini, jadi semua pihak kena berhati-hati sepanjang penggambaran.
“Apatah lagi adegan yang membabitkan ramai pelakon dan ‘ekstra’, mujur produksi sangat menjaga SOP.
“Saya fikir kru musim kedua Black sudah melaksanakan kerja dengan baik. Contohnya, sebaik tiba dan apabila mahu pulang, kami disembur cecair pembasmi kuman.
“Saya sangat bersyukur dalam kesukaran itu, tiada apa yang terjadi ke atas kami,” katanya kepada BH Online.
Siti Saleha berkata, amalan norma baharu membuatkan pelakon dan kru lebih berdisiplin dalam menjaga kesihatan dan kebersihan.
“Biar macam mana pun, kami perlu menjaga diri sendiri demi kebaikan semua orang,” katanya.
Siti Saleha berkata, penerbit drama produksi Viu Original Melayu itu, Zurina Ramli melantik penyelia kesihatan di lokasi penggambaran bagi memeriksa tahap kesihatan setiap individu.
“Dalam sehari, antara tiga hingga empat kali penyelia terbabit mengimbas suhu badan setiap orang.
“Ini memberi keyakinan kepada setiap petugas untuk fokus dalam bekerja. Kalau tidak, kerisauan akan mengganggu fokus dan kreativiti masing-masing,” katanya.
Penggambaran musim kedua Black disempurnakan dua bulan mulai November, tahun lalu.
Mengulas lanjut mengenai drama Black, Siti Saleha yang ditemubual secara virtual mengaku gembira diberi watak berbeza seperti Sofia.
“Sofia adalah watak yang tidak pernah saya bawa. Sebelum ini, saya sering melakonkan watak wanita patah hati.
“Jadi, kali ini, cerita ini tidak klise bagi saya. Saya gembira dapat menghidupkan watak segar.
“Saya suka perkembangan watak Sofia dari musim pertama hingga musim kedua. Saya harap penonton akan terhibur,” katanya.
Dalam Black, Siti Saleha membawa watak Sofia iaitu wanita muda bermasalah tetapi memiliki keistimewaan. Sofia boleh melihat kematian melalui bayang-bayang seseorang.
Diusik apakah dia mahu memiliki kelebihan itu secara realiti, Siti Saleha berkata:
“Tidak mahulah. Ada perbezaan antara Sally (panggilan namanya) dan Sofia di mana Sally tidak mahu kelebihan itu.
“Saya penakut. Jadi kalau dapat melihat kematian, sudah tentu ia menakutkan buat saya.
“Kalau jadi halimunan, berjalan atas air atau terbang mungkin. Entahlah, saya tidak pernah terfikir untuk memiliki ‘superpower’,” katanya yang pernah tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Utama Terbaik Program Televisyen (TV), Anugerah Kandungan Asia 2020 melalui lakonannya sebagai Sofia.
Black adalah sebuah kisah yang diadaptasi daripada drama fantasi seram Korea Selatan karya CJ ENM dengan judul sama.
Selain Saleha, musim kedua Black mengekalkan pelakon utama seperti Kamal Adli, Nabila Huda dan Zoey Rahman.
Black musim kedua diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar dan Sein Qudsi. Episod pertama Black musim kedua boleh ditonton di Viu di mana dua episod baharu disiarkan setiap Khamis, mulai 10 Jun lalu.
Aplikasi Viu boleh dimuat turun secara percuma di App Store, Google Play dan TV pintar terpilih serta laman web www.viu.com.
© New Straits Times Press (M) Bhd
